BERITA TERKINI   LTdL 2026: Pelumba Tudor Pro Cycling Team Lennart Jasch menang peringkat kedua dari Taiping ke Gunung Jerai | Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah akan dikebumikan di sebelah pusara Datin Seri Endon Mahmood di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya - Fahmi | Indeks Harga Pengeluar Malaysia meningkat 10.7 peratus pada Ogos 2026 berbanding peningkatan 9.7 peratus pada Julai 2026 | PM Anwar arah KSN, PAT bantu pengurusan dan beri taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Almarhum Tun Dr Siti Hasmah | Mahkamah Tinggi Shah Alam tolak permohonan rayuan Ismanira Abdul Manaf bagi ketepi sabitan, hukuman penjara lima tahun kerana abai Zayn Rayyan Abdul Matin | 

BPMB Gesa Pembiayaan Bersasar, Sokongan Kepada PMKS Dalam Belanjawan 2027

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (Kumpulan BPMB) menggesa Belanjawan 2027 memberi keutamaan kepada langkah bersasar yang meningkatkan akses kepada modal kerja dan menyediakan fleksibiliti pembayaran balik untuk perniagaan berdaya maju yang terjejas oleh perkembangan geopolitik dan kenaikan kos.

Menurut institusi kewangan pembangunan itu, langkah sedemikian perlu dilengkapi oleh inisiatif yang memacu penggunaan teknologi, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing jangka panjang.

Ad Banner

“Pendekatan ini berasaskan kelonggaran pembayaran balik pembiayaan dan lanjutan tempoh yang telah disediakan oleh Kumpulan BPMB kepada pelanggan yang terjejas,” menurutnya kepada Bernama. 

 

Lima Keutamaan untuk Memacu Pertumbuhan

Ad Banner
Ad Banner

Kumpulan BPMB turut mencadangkan gabungan tertumpu insentif fiskal bersasar, pembiayaan yang mudah diakses, jaminan kerajaan dan pengaturan perkongsian risiko dalam lima kluster keutamaan negara, iaitu pasaran eksport, kelestarian, pengangkutan, pembangunan keusahawanan dan pelancongan.

Menurutnya, pembiayaan perdagangan yang lebih kukuh dan perlindungan eksport perlu untuk mempelbagaikan eksport Malaysia serta memudah cara ke pasaran baharu manakala langkah yang berteraskan kelestarian perlu meliputi tempoh pembiayaan yang lebih panjang serta inisiatif yang meningkatkan daya maju projek selain menarik pelaburan swasta dalam aktiviti berkaitan peralihan.

Bagi segmen pengangkutan, kumpulan itu menekankan keperluan pembiayaan untuk menyokong rangkaian logistik yang lebih cekap, keupayaan maritim dan kesalinghubungan yang strategik.

Sementara itu, katanya pembangunan keusahawanan perlu memberi tumpuan kepada bantuan bersasar bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melakukan pendigitalan, meningkatkan produktiviti dan memperluas skala perniagaan.

Pada masa yang sama, pembiayaan sektor pelancongan perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan tarikan destinasi, menyokong infrastruktur dan memperkukuh ekonomi serantau.

 

Laluan Pengantarabangsaan PMKS Bersepadu

Menurut Kumpulan BPMB, Program Akses Modalnya, bersama Dana Transformasi Teknologi PKS oleh SME Bank menyediakan laluan kepada syarikat untuk melaksanakan pengembangan secara organik dan strategik.  

Sementara itu, anak syarikatnya, EXIM Bank melengkapkan laluan itu melalui pembiayaan dan perlindungan eksport bagi perniagaan Malaysia yang berkembang ke pasaran antarabangsa.

Kumpulan itu memaklumkan pengantarabangsaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu menjadi sebahagian penting daripada agenda yang lebih luas, dengan rangka kerja nasional yang diselaraskan dapat menghubungkan pembiayaan, perlindungan eksport, pembangunan kapasiti dan akses pasaran.

Ini akan memastikan PMKS mempunyai laluan yang lebih jelas untuk menyertai rantaian bekalan global, menjalin kerjasama antarabangsa serta mempelbagaikan pasaran ke pasaran baharu dan bukan tradisional.

“Matlamatnya ialah melahirkan lebih banyak syarikat peneraju serantau dan syarikat multinasional Malaysia pada masa depan, selain mengurangkan kebergantungan eksport kepada pasaran tertentu,” menurutnya.

 

Pendigitalan, Khidmat Nasihat dan Membina Kapasiti

Menurut kumpulan itu, Belanjawan 2027 perlu memberi lebih penekanan kepada pendigitalan termaju, khidmat nasihat perniagaan, pembangunan kemahiran dan akses pasaran bagi membolehkan PMKS meningkatkan operasi, mengguna pakai teknologi yang bersesuaian dan mencapai pertumbuhan mampan.

Ia turut mencadangkan pembiayaan teknologi dilengkapi dengan program khidmat nasihat berstruktur secara berterusan melibatkan pakar bertauliah selama 12 hingga 18 bulan untuk membimbing PMKS dalam membangunkan pelan hala tuju transformasi, memilih teknologi yang bersesuaian, memantau pelaksanaan dan membina keupayaan dalaman.

Dengan menggabungkan elemen ini, Kumpulan BPMB memaklumkan Belanjawan 2027 dapat mewujudkan laluan pembangunan PMKS yang lebih bersepadu, dengan menggabungkan teknologi, kepakaran dan akses pasaran bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya tahan dan menyokong pengembangan yang mampan.

 

Penyelesaian Pembiayaan Baharu dan Mekanisme Perkongsian Risiko

Melangkah ke hadapan, Kumpulan BPMB memaklumkan pihaknya terus menilai jurang pasaran yang berpotensi mendapat manfaat daripada penyelesaian pembiayaan baharu pada 2027, terutamanya dalam bidang seperti pembiayaan perdagangan yang diperluas dan perlindungan eksport bagi menyokong syarikat Malaysia memasuki pasaran baharu dan bukan tradisional, selain memperluas operasi pada peringkat antarabangsa serta memperkukuh penyertaan dalam rantaian bekalan serantau dan global.

Menurut kumpulan itu, inisiatif yang berpotensi turut meliputi mekanisme perkongsian risiko bagi meningkatkan daya maju projek dan menarik modal swasta; pembiayaan peralihan untuk menyokong pelaburan produktif dan kemudahan pembiayaan dengan tempoh lebih panjang bagi memudah cara pembaharuan kumpulan kapal maritim serta memperkukuh keupayaan pembinaan kapal dalam negara.

Ia menekankan bahawa sebarang instrumen baharu akan dirangka untuk memenuhi keperluan pasaran yang jelas dan menjana nilai ekonomi melangkaui aspek pembiayaan, dengan memanfaatkan inisiatif sedia ada yang dilaksanakan oleh anak syarikat Kumpulan BPMB di bawah Belanjawan 2026.

“Melalui mandat yang saling melengkapi antara anak syarikat Kumpulan BPMB, iaitu EXIM Bank dan SME Bank, kami berharap dapat menterjemahkan keutamaan Belanjawan Negara 2027 kepada pelaburan strategik, pengembangan perniagaan dan peluang ekonomi yang lebih luas,” menurutnya.

-- BERNAMA