IPO: RedPlanet Sasar Kumpul Dana RM13.3 Juta, Beralih Ke Pasaran ACE
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- RedPlanet Bhd menyasarkan untuk mengumpul dana berjumlah RM13.3 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang peralihan penyenaraian ke Pasaran ACE daripada Pasaan LEAP Bursa Malaysia pada 22 Oktober ini.
Syarikat itu merupakan penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) perusahaan dengan kemahiran atau khusus dalam aspek penyelesaian geospatial dan sistem rel pintar.
Majlis pelancaran prospektus syarikat itu telah diadakan pada hari ini.
Harga IPO ditetapkan pada 19 sen sesaham yang merangkumi terbitan 70 juta saham biasa baharu yang mewakili permodalan pasaran kira-kira RM78.02 juta berdasarkan modal saham terbitan dipertingkat sebanyak 410.65 juta saham selepas penyenaraian.
IPO itu turut melibatkan tawaran penjualan 10 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
RedPlanet memaklumkan sebanyak RM8.12 juta daripada hasil IPO itu diperuntukkan bagi tujuan pengembangan perniagaan dalam usaha menyokong penyertaan syarikat dalam projek penyelesaian ICT berskala lebih besar.
Selain itu, RM2.38 juta akan digunakan sebagai modal kerja manakala RM2.8 juta diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan berkaitan pemindahan/penyenaraian saham.
Pengarah Urusan Lian Wah Seng berkata syarikat itu berhasrat memanfaatkan hasil kutipan dana itu bagi tujuan pengembangan perniagaan, terutama bagi membida projek-projek berskala besar.
Pada masa ini, nilai perolehan tender syarikat mencecah nilai RM132 juta dengan sebahagian besarnya merangkumi projek dalam sektor utiliti dan kereta api manakala nilai kontrak pula bernilai RM50 juta.
“Apabila kami menyasarkan projek yang lebih besar, tahap kerumitan juga meningkat dan lebih banyak sumber kewangan diperlukan. Kami juga percaya projek berkaitan sektor rel tidak tepu.
“Berdasarkan perkembangan semasa, terdapat peruntukan untuk memperluaskan stesen Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Laluan Mutiara di Pulau Pinang serta banyak projek naik taraf infrastruktur sedia ada. Terdapat banyak projek dan tender dalam sektor rel, malah lebih banyak berbanding sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran prospektus itu.
Permohonan bagi IPO itu dibuka hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 8 Oktober 2026.
RedPlanet dijadualkan beralih daripada Pasaran LEAP pada 22 Oktober 2026.
Dalam pada itu, UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd berperanan sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.
-- BERNAMA