BERITA TERKINI   LTdL 2026: Pelumba TotalEnergies Nicolas Breuillard menangĀ Peringkat 5 dari Tapah keĀ Genting Highlands | Mohd Shuhaily serah kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut, keadilan buat semua pihak | AKPS sahkan rakaman dipetik daripada CCTV, insiden berlaku 28 Sept lepas - Mohd Shuhaily | DNB selesai pembiayaan RM5.2 bilion, sokong fasa pertumbuhan 5G Malaysia seterusnya | Pentadbiran Persekutuan, negeri digalak guna aplikasi Respons Rakyat agar saluran maklum balas kerajaan lebih inklusif, pantas - KSN | 

DNB Selesai Pembiayaan Islam RM5.2 Bilion, Beralih Ke Fasa Seterusnya Dwi Rangkaian 5G

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Digital Nasional Bhd (DNB) telah menyelesaikan urus niaga pembiayaan berjangka Islam bersindiket bernilai RM5.2 bilion, sekali gus menandakan langkah penting dalam peralihan ke fasa seterusnya rangka kerja dwi rangkaian 5G.

Menurut DNB dalam kenyataan hari ini, pembiayaan itu mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat untuk jangka panjang serta memudahkan rancangan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) untuk keluar sebagai pemegang saham biasa.

DNB memaklumkan pemilikan DNB kemudiannya akan beralih kepada pegangan sama rata dalam kalangan pemegang saham pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang dijangka berlaku pada awal suku keempat 2026.

Ad Banner

Menurutnya pemegang saham MNO itu termasuk CelcomDigi Bhd melalui Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd dan YTL Power International Bhd, katanya.

DNB memaklumkan MOF Inc akan mengekalkan saham khas dalam DNB bagi melindungi kepentingan negara dan memastikan pengawasan berterusan terhadap perkara strategik utama dan pada masa sama membolehkan syarikat itu meneruskan pembangunan dalam fasa seterusnya.

“Langkah pembiayaan bersindiket itu merangkumi pembiayaan semula Kemudahan Kredit Pusingan Jaminan Kerajaan DNB, yang tamat tempoh pada 29 Sept 2026 serta mewujudkan struktur pembiayaan jangka panjang yang mampan bagi menyokong pertumbuhan masa depan syarikat,” menurutnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya penyelesaian pembiayaan itu selaras dengan pemberian keseluruhan spektrum 100MHz dalam jalur 3.3–3.4GHz.

Selain itu, urusan berkenaan turut melibatkan penukaran keseluruhan pegangan spektrum 240MHz milik DNB kepada Penguntukan Spektrum yang berkuat kuasa hari ini selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan penguntukan itu.

“Spektrum itu akan meningkatkan kapasiti rangkaian dan menyokong teknologi termasuk Massive MIMO (pelbagai input pelbagai output), pengagregatan pembawa, 5G Advanced dan keupayaan rangkaian yang dipacu kecerdasan buatan (AI).

“Secara bersama, pembiayaan dan penguntukan spektrum itu mengukuhkan keupayaan DNB untuk meningkatkan kualiti serta daya tahan rangkaian, menyokong permintaan pada masa depan dan memajukan aspirasi ekonomi digital Malaysia,” menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif DNB Datuk Azman Ismail berkata pembiayaan itu menyediakan platform yang mampan untuk syarikat beroperasi secara kendiri, meneruskan pelaburan dalam penambahbaikan rangkaian dan peluasan kapasiti serta memanfaatkan aset spektrum yang diperluaskan.

“Ketika Malaysia melangkah maju di bawah rangka kerja dwi rangkaian, DNB kekal komited untuk menyediakan infrastruktur digital bertaraf dunia yang menyokong pemegang saham, pelanggan, perusahaan dan agensi kerajaan.

“Dengan pembiayaan yang kukuh, sumber spektrum yang dipertingkatkan serta platform 5G seluruh negara yang terbukti, DNB berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai Negara AI dan membantu memacu fasa seterusnya pertumbuhan digital Malaysia,” kata Azman.

CelcomDigi dalam kenyataan berasingan pula memaklumkan pemberian spektrum 5G DNB untuk tempoh 15 tahun akan memberikan lebih banyak kepastian dalam jangka panjang mengenai ketersediaan dan kos spektrum, sekali gus menyokong perancangan dan pelaburan rangkaian yang lebih berkesan.

“Dengan spektrum jalur pertengahan berterusan 200MHz, DNB berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan pengguna dan perusahaan yang semakin meningkat, di samping menawarkan asas kukuh untuk memodenkan rangkaian, memperluas penyelesaian dalam bangunan (IBS), meningkatkan liputan dan memaksimumkan penggunaan spektrum.

“Digabungkan dengan liputan rangkaian dan infrastruktur rangkaian CelcomDigi yang meluas, langkah ini mewujudkan peluang tambahan untuk meningkatkan kapasiti, liputan dan pengalaman pelanggan 5G,” menurutnya.

Menurut CelcomDigi syarikat itu akan menggunakan skala operasinya, aset rangkaian di seluruh negara dan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri telekomunikasi untuk menyokong DNB, dengan memanfaatkan infrastruktur, tapak dan keupayaan sedia ada bagi meningkatkan kecekapan kos, menyokong peluasan liputan serta mempercepat pelaksanaan 5G dalam bangunan.

-- BERNAMA