Pelanggan Guna Sehingga 800kWj Terima Kredit Pro Rata Dalam Bil Oktober - TNB
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Pelanggan domestik Tenaga Nasional Bhd (TNB) dengan penggunaan sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan akan menerima kredit secara pro rata bagi pelarasan caj bulan September yang akan dikreditkan terus ke dalam bil elektrik Oktober 2026.
Ini merupakan lanjutan daripada pengumuman kerajaan pada 17 Sept lepas untuk menaikkan aras perlindungan pelanggan domestik daripada 600kWj sebulan kepada 800kWj sebulan.
“Menerusi peningkatan aras perlindungan itu, pelanggan domestik dengan penggunaan 800kWj dan ke bawah sebulan bagi tempoh September hingga 31 Dis 2026 akan menikmati pengecualian sepenuhnya daripada caj pelarasan kos bahan api secara automatik (AFA), caj peruncitan sebanyak RM10 dan Cukai Perkhidmatan sebanyak lapan peratus.
“Bagi pelanggan yang layak, pelarasan caj di atas untuk bulan September akan dikira secara pro rata dan dikreditkan terus ke dalam bil bulan Oktober 2026,” menurut TNB dalam kenyataan hari ini.
Jumlah pelarasan tersebut akan dipaparkan di dalam bil pelanggan di bawah butiran ‘PELARASAN BIL (SEP 2026)’ dan ‘PELARASAN CUKAI PERKHIDMATAN (8%) (SEP 2026)’.
Pada masa yang sama, TNB turut menyarankan pelanggan untuk mengamalkan langkah kecekapan tenaga bagi memaksimumkan penjimatan.
Menurutnya, pelanggan boleh memantau penggunaan harian dengan Aplikasi myTNB dengan memastikan penggunaan harian kekal di bawah 25 kWj dan menetapkan Energy Budget di bawah RM328 (bagi premis dengan meter pintar).
Selain itu, katanya mengamalkan tip kecekapan tenaga iaitu mengoptimumkan penggunaan penyaman udara dengan menetapkan suhu antara 24°C dan 26°C serta menggunakan fungsi pemasa.
“Pertimbangkan Skim Time-of-Use (TOU) - alih penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi kepada waktu luar puncak (10:00 malam hingga 2:00 petang pada Isnin hingga Jumaat serta sepanjang hari Sabtu, Ahad dan cuti umum terpilih) untuk menikmati kadar tarif yang lebih rendah,” menurutnya.
-- BERNAMA