BERITA TERKINI   LTdL 2026: Pelumba Modern Adventure Pro Cycling Riley Pickrell menang Peringkat 6 dari Pandan Indah ke Rembau | Banjir Nepal: Seorang daripada 55 rakyat Malaysia dilaporkan selamat, telah kembali ke tanah air - MASFIH | Malaysia perkukuh kerjasama strategik dalam kewangan Islam antara cendekiawan, pengawal selia, institusi kewangan dan dunia akademik - PM Anwar | Semua pihak perlu pastikan kewangan Islam kekal inovatif, inklusif dan berdaya saing pada peringkat global - PM Anwar | Siaran langsung F1 di SIC beri peluang rakyat rasai debaran perlumbaan taraf dunia - PM Anwar   | 

Donuf Sasar 100 Cawangan Menjelang 2029

Oleh Nur Fadhliana Shaari

JOHOR BAHRU, 2 Okt (Bernama) -- Pengasas Donuf, produk gabungan donat dan pastri berkrim (creampuff) rangup, menyasarkan membuka 100 cawangan di seluruh negara menjelang 2029 didorong oleh perkembangan positif perniagaan itu sejak mula beroperasi April lepas.

Arron Teo, 32, berkata Donuf kini mempunyai dua cawangan di Jalan Dhoby dan Larkin Sentral di sini, dengan jualan bulanan mencecah sehingga RM70,000.

Ad Banner

Katanya dua lagi cawangan, masing-masing di Angsana Mall dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dijangka dibuka menjelang akhir tahun ini manakala enam lagi cawangan dibuka pada tahun depan dan dipertingkatkan sehingga 20 cawangan pada 2028.

“Johor akan menjadi antara pasaran utama dengan sasaran sekurang-kurangnya lima cawangan sebelum kita berkembang ke Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Melaka, Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Bernama.

Arron berkata Kelantan dan Terengganu antara negeri yang mempunyai potensi susulan permintaan pelanggan dari kedua-dua negeri itu yang sanggup datang ke Johor untuk mendapatkan produk Donuf.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata kira-kira RM400,000 diperlukan untuk membuka sebuah cawangan Donuf, tidak termasuk kos pembangunan resipi serta proses penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Donuf mula beroperasi pada April tahun ini selepas melalui proses pembangunan produk, percubaan resipi serta R&D selama lebih setahun.

Arron berkata idea menghasilkan Donuf tercetus lebih 10 tahun lalu apabila melihat rakan-rakannya sering memilih sama ada mahu menikmati donat atau pastri berkrim.

“Saya ada ramai kawan Melayu dan mereka suka makan donat dan pastri berkrim, jadi saya fikir kenapa tidak gabungkan kedua-duanya supaya pembeli boleh menikmati rasa donat serta krim dan tekstur rangup pastri dalam satu produk,” katanya.

Beliau berkata idea itu hanya dapat direalisasikan selepas memperoleh rakan kongsi dan sumber kewangan yang mencukupi untuk membangunkan produk berkenaan.

Mengimbau proses R&D, Arron berkata beliau pernah mencuba dan mengolah resipi lebih 20 kali sehari bagi mendapatkan rasa serta tekstur yang tepat, selain mendapatkan maklum balas daripada rakan dan pelanggan.

“Saya minta mereka mencubanya tanpa memberitahu apa gabungan perisa yang digunakan, kemudian mereka akan beri komen sama ada sedap, kurang manis atau perlu ditambah baik.

“Daripada maklum balas itu, saya gabungkan semua cadangan dan cuba membuatnya semula,” katanya.

Beliau berkata Donuf kini mempunyai 12 variasi perisa, namun hanya lapan diperkenalkan pada peringkat awal antaranya koko, bebe berry, vani (vanila), gaya kaya, matchi, lemo, ono dan garu-garu, dengan coklat serta strawberi antara yang paling mendapat sambutan.

Menurutnya, jualan Donuf kini sekitar 300 hingga 400 biji sehari pada hari biasa dan meningkat kepada kira-kira 600 hingga 700 biji sehari pada hujung minggu.

Beliau berkata cawangan Jalan Dhoby merekodkan jualan lebih tinggi berbanding Larkin Sentral berikutan lokasinya yang menjadi tumpuan orang ramai terutama pada waktu malam, selain strategi pemasaran awal yang lebih tertumpu di kawasan berkenaan.

Anak jati Batu Pahat yang mempunyai pengalaman lebih 17 tahun dalam sektor makanan dan minuman (F&B) berkata pengalaman berkenaan banyak membantunya dari segi pengurusan kos, operasi dan pembangunan perniagaan.

Sebagai anak bongsu daripada lima beradik, beliau memiliki empati yang tinggi apabila memberi peluang pekerjaan kepada individu yang tidak mempunyai kelayakan akademik seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan menumpukan kepada sikap, kemahiran dan kesungguhan untuk bekerja.

Beliau kini mempunyai lebih 10 kakitangan berusia antara 18 hingga 27 tahun.

-- BERNAMA