Belanjawan 2027 Bakal Tetap Hala Tuju Dasar Perumahan Negara - Juwai IQI
KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Sebagai belanjawan pertama sejak pelancaran Dasar Perumahan Negara dalam tempoh 10 tahun lepas, Belanjawan 2027 dilihat berperanan penting dalam meningkatkan penawaran perumahan secara ketara selain menangani cabaran berterusan yang dihadapi pasaran perumahan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI Kashif Ansari berkata Belanjawan 2027 akan menjadi asas kepada lapan lagi belanjawan yang akan dibentangkan selepas ini.
Katanya, perancangan berasaskan data, kaedah pembiayaan baharu, teknik pembinaan canggih serta sasaran penawaran perumahan baharu yang bercita-cita tinggi merupakan sebahagian daripada komponen dalam Dasar Perumahan Negara yang dijangka menerima peruntukan menerusi Belanjawan 2027.
“Satu daripada masalah utama yang perlu ditangani menerusi perancangan berasaskan data ialah rumah yang tidak terjual. Sekiranya rumah dibina mengikut kesesuaian lokasi, dari segi jenis dan harga, ia sepatutnya dapat dijual dalam tempoh yang agak singkat dalam keadaan pasaran yang stabil.
"Justeru, pembangunan berasaskan data berpotensi mengurangkan jumlah rumah yang tidak terjual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kashif berkata jika perancangan berasaskan data berjaya mengurangkan jumlah rumah mampu milik yang tidak terjual sebanyak 1,000 unit setahun, ia dapat mengelakkan hampir RM1.8 bilion nilai rumah mampu milik daripada tidak berpenghuni sepanjang tempoh 10 tahun pelaksanaan dasar berkenaan.
Beliau turut berkata industri perumahan menyambut baik cadangan instrumen pembiayaan baharu yang dijangka diperkenal menerusi Dasar Perumahan Negara bagi membantu pembeli rumah mampu milik.
“Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sedia ada akan terus menjamin pinjaman perumahan bagi pembeli rumah kali pertama yang tidak mempunyai slip gaji tetap seperti pekerja gig dan individu yang bekerja sendiri.
“Tahun lepas, skim berkenaan meluluskan jaminan kepada 27,000 rakyat Malaysia untuk membeli rumah pertama mereka. Jika kerajaan dapat mengekalkan kadar tahunan itu dalam tempoh 10 tahun akan datang, sebanyak 270,000 isi rumah akan mendapat manfaat iaitu bersamaan hampir sejuta orang,” katanya.
Kashif turut memberitahu SJKP sememangnya sudah tersedia, namun terdapat beberapa lagi skim pembiayaan inovatif yang terkandung dalam Dasar Perumahan Negara dan dijangka menerima peruntukan menerusi Belanjawan 2027.
Pada masa yang sama, katanya, skim sewa untuk beli membolehkan keluarga menduduki rumah sebagai penyewa sebelum akhirnya memiliki rumah tersebut tanpa memerlukan bayaran deposit awal yang besar.
“Pemilikan bersama membolehkan pembeli menyediakan sebahagian daripada jumlah yang diperlukan untuk membeli rumah terlebih dahulu dan membayar baki kemudian apabila mereka berkemampuan.
"Dalam pada itu, pinjaman perumahan kadar tetap jangka panjang melindungi pembeli daripada peningkatan bayaran balik bulanan sekiranya kadar faedah meningkat selepas pembelian dibuat,” jelasnya.
Menurut beliau Belanjawan 2027 akan mula merealisasikan Dasar Perumahan Negara daripada sekadar perancangan kepada pelaksanaan.
Katanya, jika kerajaan menyediakan peruntukan bagi perancangan berasaskan data, kaedah pembiayaan baharu dan teknologi pembinaan moden pada 2027, setiap keluarga akan mula merasai manfaatnya.
-- BERNAMA