BERITA TERKINI   Zetrix AI telah mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan bagi menangani isu tunggakan penyerahan wang | AKPS sita 637 tan biji koko dari Uganda bernilai RM11.8 juta di Pelabuhan Pasir Gudang Sabtu lepas | PM Anwar ucap tahniah, syabas kepada Harimau Malaya rangkul tempat ketiga saingan Piala ASEAN FIFA 2026 | Piala ASEAN FIFA: Malaysia 1-0 Vietnam | Kerajaan Johor sedia teliti keperluan asas sekolah bagi tingkatkan keselamatan susulan kes kematian pelajar di Yong Peng - MB | 

IJM Corp Lantik Johan Idris Sebagai Pengerusi

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Konglomerat IJM Corporation Bhd (IJM Corp) mengumumkan pelantikan Datuk Johan Idris sebagai pengarah bebas bukan eksekutif dan pengerusi syarikat itu.

Dalam kenyataan hari ini, IJM Corp memaklumkan pelantikan Johan susulan peralihan kepimpinan lembaga pengarah berikutan persaraan Tan Sri Krishnan Tan pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) IJM ke-42 pada 27 Ogos 2026.

Pengarah bukan eksekutif IJM Corp, Datuk Lee Teck Yuen, mengambil alih jawatan pengerusi ketika itu bagi memastikan kesinambungan kepimpinan lembaga pengarah sementara proses penggantian dan pertimbangan pelantikan pengerusi bagi jangka panjang diteruskan.

Ad Banner

Mengulas pelantikannya, Johan berkata beliau berbesar hati menyertai lembaga pengarah IJM Corp dan memegang jawatan pengerusi.

“IJM mempunyai perniagaan yang kukuh, pasukan pengurusan berpengalaman serta hala tuju strategik yang jelas. Saya berharap dapat bekerjasama dengan anggota lembaga pengarah dan pihak pengurusan untuk mengekalkan tadbir urus dan pengawasan yang kukuh ketika kumpulan melaksanakan keutamaannya serta mewujudkan nilai jangka panjang untuk pemegang taruh,” katanya.

Johan mempunyai pengalaman lebih 34 tahun dalam bidang kewangan, audit dan khidmat nasihat strategik.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut IJM Corp, beliau merupakan rakan kongsi pengurusan dan rakan kongsi kanan negara KPMG Malaysia dari 2014 hingga 2024, selepas sebelum itu berkhidmat sebagai ketua audit dan rakan kongsi audit firma berkenaan.

“Beliau turut pernah menjadi presiden Institut Akauntan Malaysia dari 2013 hingga 2015 dan anggota eksekutif Jawatankuasa Eksekutif Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia dari 2016 hingga 2018.

“Beliau kini merupakan pengerusi Maxis Bhd dan pengerusi bukan eksekutif KPMG Malaysia, selain pengarah KLCC Property Holdings Bhd dan KLCC Real Estate Investment Trust,” menurutnya.

-- BERNAMA