BERITA TERKINI   Bernama terima Anugerah Penyiaran Media Massa pada majlis Anugerah Industri Malaysia (MINDA) malam ini | Jerebu: Semua sekolah di Johor ditutup dua hari bermula esok susulan kemerosotan kualiti udara - Exco | Belanjawan 2027 terus beri tumpuan ringankan beban, lindungi rakyat, buka peluang dan pastikan manfaat pembangunan yang lebih adil - PM Anwar | Belanjawan MADANI ke-5 berpaksikan tekad jelas bahawa ekonomi negara perlu terus diperkukuh, pertumbuhan diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik - PM Anwar | Tunggakan bayaran balik pinjaman untuk projek infrastruktur asas kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM8.084 bilion setakat 31 Dis tahun lepas - Chin Tong | 

ST Sokong ASEAN School Of Regulation Bagi Pacu Grid Tenaga Serantau, Pelaburan

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Tenaga (ST) akan memberi sokongan kepada ASEAN School of Regulation (Sekolah Pengawalseliaan ASEAN - ASR) di Malaysia, iaitu satu inisiatif serantau yang bertujuan memperkukuh keupayaan kawal selia serta mempercepat pembangunan Grid Tenaga ASEAN (APG).

ASR yang dilancarkan hari ini pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-44 di Manila, Filipina akan bertempat di UNITEN R&D di Malaysia, sekali gus menyediakan platform untuk membangunkan ekosistem pembelajaran serantau yang kukuh dan berterusan dengan menghubungkan pengawal selia, penggubal dasar, ahli akademik, rakan pembangunan serta pakar industri.

Menurut kenyataan bersama ST dan beberapa rakan kongsi, termasuk Suruhanjaya Kawal Selia Tenaga  (ERC) dan Pusat Tenaga ASEAN (ACE), Malaysia melalui ST komited untuk menyokong Malaysia tuan rumah ASR semasa Mesyuarat Khas Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga pada Januari 2026.

Ad Banner

Kenyataan itu memaklumkan, penubuhan ASR susulan pengesahan rasmi oleh Rangkaian Pengawal Selia Tenaga ASEAN (AERN) pada 2025 dan diperakui pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 yang diadakan di Kuala Lumpur.

“Berasaskan siri latihan perintis yang dilaksanakan sepanjang 2025 dan 2026, fasa seterusnya akan mewujudkan sekretariat tetap ASR serta platform operasi di UNITEN R&D.

“Peralihan daripada program perintis kepada institusi ASEAN yang tetap ini mewujudkan platform yang boleh dikembangkan untuk program selama beberapa tahun, pertukaran tenaga pengajar pakar dan pengamal, penyelidikan kawal selia gunaan serta perkongsian yang memenuhi secara langsung terhadap keperluan pengawal selia ASEAN yang sentiasa berkembang," menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Kenyataan itu memaklumkan, Ketua Pegawai Eksekutif ST Siti Safinah Salleh merupakan antara pemimpin tenaga serantau dan pakar kawal selia yang menyertai panel peringkat tinggi bagi memperkukuh keupayaan kawal selia untuk memacu peralihan tenaga dan APG.

Panel itu, yang turut disertai wakil ERC Filipina, Agence Française de Développement (AFD), Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Perkhidmatan Projek (UNOPS) dan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (ESCAP), menekankan kepentingan pengekalan kapasiti secara berinstitusi, penyelarasan kawal selia rentas sempadan yang praktikal serta tadbir urus tenaga yang inklusif.

ASR direka untuk melangkaui program latihan secara ad hoc dengan mewujudkan platform serantau yang berterusan bagi membangunkan pemimpin kawal selia, mengekalkan pengetahuan institusi serta menterjemahkan pembelajaran bersama kepada tindakan kawal selia.

Fokus awalnya adalah terhadap integrasi sistem tenaga elektrik dan perdagangan elektrik multilateral, dengan program berstruktur dan berorientasikan amalan meliputi sistem tenaga elektrik, reka bentuk pasaran, kawal selia ekonomi serta perdagangan tenaga multilateral.

ASR juga akan memberi tumpuan kepada empat hasil berimpak tinggi, iaitu membina dan mengekalkan keupayaan kawal selia; memajukan penyelarasan dan kesalingoperasian kawal selia; mewujudkan komuniti pemimpin kawal selia serantau; serta mempercepat penyelesaian terhadap cabaran kawal selia yang baharu muncul.

“Dengan memperkukuh kejelasan, keseragaman dan keupayaan pelaksanaan kawal selia di seluruh negara anggota ASEAN, sekolah itu juga akan membantu mewujudkan keadaan yang lebih kondusif dan dapat dijangka bagi pelaburan jangka panjang dalam grid, tenaga bersih, penyimpanan tenaga, pendigitalan serta infrastruktur tenaga rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif itu digerakkan secara bersama oleh AERN, ACE dan Sekretariat ASEAN, dengan kerjasama  Perkongsian Peralihan Tenaga Asia Tenggara oleh UNOPS dan ESCAP, serta mendapat sokongan daripada AFD dan EU-ASEAN Sustainable Connectivity Package (SCOPE) Energy.

-- BERNAMA