BERITA TERKINI   RTS Link bukan ditangguh, perlu penilaian keselamatan dan kelulusan pihak berkuasa Malaysia-Singapura - Loke | Perkhidmatan BAS.MY Johor Bahru diteruskan lima tahun mulai 2027- Loke | Inisiatif perkhidmatan Shuttle Selatan lebih murah, jimat kos sara hidup dijangka diumum PM Anwar dalam Belanjawan 2027 esok - Loke | Operasi RTS Link Johor Bahru-Singapura pada Februari 2027 tepat, beri lebih masa penilaian keselamatan - Loke | Menteri Luar diminta hubungi Sekretariat ASEAN untuk selaras mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN susulan keadaan jerebu semasa - PM Anwar | 

KYZEN Perluas Operasi Di P. Pinang, Perkukuh Komitmen Terhadap Pembuatan Termaju 

GEORGE TOWN, 8 Okt (Bernama) -- KYZEN Corporation, yang menyediakan penyelesaian pencucian berketepatan tinggi untuk sektor elektronik dan pembuatan termaju, membuka kemudahan baharu di Pulau Pinang hari ini, menandakan pengembangan penting operasinya selepas lebih 16 tahun beroperasi di negara ini.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan KYZEN dalam kenyataan bersama hari ini, kemudahan baharu itu meningkatkan kapasiti operasi dan tenaga kerja syarikat bagi menyokong pertumbuhan pelanggan di seluruh Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

KYZEN memaklumkan kemudahan itu, yang melibatkan komitmen kewangan yang tinggi, dihasilkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, penghantaran produk dan sokongan teknikal yang membolehkan syarikat mengguna pakai teknologi pembuatan termaju serta amalan operasi mampan.

Ad Banner

Kemudahan itu akan menyokong pelanggan dalam sektor utama termasuk semikonduktor, elektronik, automotif, peranti perubatan dan pembuatan perindustrian selain memperkukuh kemampuan KYZEN untuk menyediakan penyelesaian pencucian yang inovatif dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata pengembangan itu menunjukkan keyakinan KYZEN terhadap Malaysia sebagai hab strategik bagi pembuatan termaju dan industri berasaskan teknologi.

“Pengembangan ini adalah komitmen terhadap inovasi, tenaga kerja dan masa depan pembuatan termaju.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Ia turut menjadikan teknologi pencucian bertaraf dunia dan kepakaran teknikal lebih dekat kepada pelanggan di Asia Tenggara selain mewujudkan peluang untuk bakat tempatan dan kerjasama industri,” katanya dalam kenyataan sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pengembangan KYZEN selepas lebih 16 tahun mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ekosistem pembuatan Malaysia.

Pengembangan itu menyokong sektor semikonduktor, elektronik dan pembuatan termaju negara serta seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 untuk memperkukuh keupayaan industri, memperluas hubungan domestik dan memajukan teknologi.

Menurut MIDA sektor pembuatan Malaysia memperoleh pelaburan diluluskan sebanyak RM51.3 bilion melibatkan 973 projek pada separuh pertama 2026, dengan agensi itu terus memudah cara pelabur dalam melaksanakan dan mengembangkan operasi.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi KYZEN R. Erik Miller berkata kemudahan baharu itu membolehkan syarikat memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan serantau, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan menyokong pembangunan keupayaan pembuatan termaju.

“Kami berbangga untuk terus menyediakan formulasi kimia dan perkhidmatan makmal yang menerajui industri daripada kemudahan yang telah dipertingkatkan ini,” katanya.

-- BERNAMA