MISC Dapat Pajakan Lima Kapal Pembawa LNG Baharu Dari Petronas
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- MISC Bhd telah memperoleh kontrak Petronas LNG Ltd untuk pajakan jangka panjang lima kapal pembawa gas asli cecair (LNG) binaan baharu.
Projek itu adalah untuk tempoh pajakan selama 20 tahun bagi setiap kapal pembawa LNG, bermula 2030.
"MISC akan menyediakan perkhidmatan perkapalan LNG melalui anak syarikat milik penuhnya," kata MISC dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
MISC juga akan memeterai kontrak pembinaan kapal dengan Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group) Co Ltd untuk pembinaan lima pengangkut LNG yang baharu.
Projek itu bertujuan untuk memanfaatkan jangkaan pertumbuhan pengeluaran LNG Petronas sambil menyokong program pembaharuan kapal-kapal pembawa LNG MISC melalui pengenalan kapal yang lebih moden dan cekap untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta keamatan pelepasan keseluruhan.
MISC berkata projek itu dijangka tidak memberi sebarang kesan material terhadap kedudukan kewangan kumpulan MISC, termasuk pendapatan sesaham, penggearan dan aset bersih sesaham, bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026.
-- BERNAMA