Kedudukan Kewangan Sektor Awam Malaysia Kekal Kukuh, Diurus Dengan Baik - MOF
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kedudukan kewangan sektor awam disatukan (CPS) Malaysia secara keseluruhan kekal kukuh dan diurus dengan baik disokong oleh pembaharuan berterusan dalam kewangan awam dan pengurusan fiskal yang berdisiplin pada semua peringkat kerajaan.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027 yang dikeluarkan hari ini memaklumkan kerajaan Persekutuan terus meningkatkan ketelusan fiskal di samping memperkukuh peranan tadbir urus dan pengawasan merentas entiti sektor awam.
"Usaha ini dilaksanakan melalui penginstitusian Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) dan cadangan penggubalan undang-undang berkaitan entiti milik kerajaan.
"Setiap peringkat kerajaan bertanggungjawab menyumbang kepada pembangunan negara melalui pelaburan strategik dalam infrastruktur kritikal dan program sosial untuk memastikan kesejahteraan rakyat," menurut kementerian itu.
Justeru, MoF memaklumkan pelaksanaan mandat yang seimbang dengan pengurusan kewangan awam berhemah akan memberikan asas kukuh demi kemakmuran negara dan manfaat kepada generasi akan datang.
CPS merangkumi kerajaan am dan syarikat awam bukan kewangan (SABK).
Menurut kementerian itu defisit baki keseluruhan CPS diunjurkan berjumlah RM162.09 bilion atau 7.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027.
Hasil CPS diunjurkan meningkat 7.3 peratus kepada RM402.67 bilion pada 2027, manakala perbelanjaan mengurus dijangka bertambah 3.6 peratus kepada RM434.32 bilion.
Baki semasa SABK diunjurkan mencatat lebihan sebanyak RM60.93 bilion, manakala baki semasa sektor awam diramal merekodkan lebihan RM29.28 bilion.
Bagi kerajaan am, MoF mengunjurkan defisit keseluruhan disatukan berjumlah RM75.29 bilion atau 3.2 peratus daripada KDNK pada 2027.
Bagi kerajaan negeri, MoF menganggarkan lebihan keseluruhan disatukan berjumlah RM2.39 bilion atau 0.1 peratus daripada KDNK pada 2026.
Bagi SABK pula, MOF menganggarkan defisit keseluruhan berjumlah RM57.15 bilion atau 2.6 peratus daripada KDNK pada 2026.
-- BERNAMA