MATRADE Terima Peruntukan RM60 Juta Bina Keupayaan Syarikat Tempatan Tembusi Pasaran Luar
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama)-- Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM60 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada tahun hadapan bagi membina keupayaan syarikat tempatan menembusi dan mempelbagai pasaran luar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini berkata Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) pula akan menyediakan pembiayaan berjumlah RM1 bilion bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan menerokai pasaran eksport.
Pada masa yang sama, beliau berkata Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terus diperhebat dengan peruntukan RM142 juta untuk membolehkan lebih ramai usahawan muda memanfaat perniagaan dalam talian.
"Kerajaan bersama Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) mewujudkan Dana UNIVC berjumlah RM50 juta untuk membawa hasil penyelidikan universiti ke pasaran," katanya.
Anwar berkata kerajaan juga sedia mengambil risiko peringkat awal agar lebih banyak modal swasta tampil menyokong ciptaan tempatan.
Selain itu katanya, kempen Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) diperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk membawa produk desa dan perkhidmatan bernilai tinggi ke platform digital dan pasaran luar.
"Bagi menyokong ekonomi altitud rendah seperti dron, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melabur RM50 juta untuk membangunkan sistem digital yang mengurus ruang udara, tapak ujian nasional dan piawaian keselamatan," kata beliau.
Anwar juga memaklumkan setakat lapan bulan pertama 2026, perdagangan negara telah mencecah RM2.5 trilion dengan pasaran eksport melonjak sebanyak 31.2 peratus kepada RM1.36 trilion.
--BERNAMA