Belanjawan 2027: Inisiatif Semikonduktor Bantu Malaysia Melonjak Ke Rantaian Nilai Lebih Tinggi
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Inisiatif berkaitan semikonduktor dalam Belanjawan 2027 boleh membantu Malaysia melonjak dalam rantaian nilai semikonduktor global melalui pengukuhan inovasi, penciptaan harta intelek (IP) dan pembangunan teknologi bernilai tinggi.
Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) memaklumkan Inisiatif itu juga selaras dengan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang bertujuan membawa Malaysia melangkaui aktiviti hiliran seperti pemasangan dan pengujian ke arah segmen huluan bernilai lebih tinggi, termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC) dan fabrikasi wafer.
Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata langkah-langkah itu akan menyokong pengkomersialan inovasi dalam bidang seperti reka bentuk IC dan pembungkusan termaju, sekali gus membolehkan syarikat Malaysia membangunkan keupayaan teknologi yang lebih kukuh.
“Hasrat ini perlu disokong oleh tenaga kerja berkemahiran yang tepat. Kerajaan perlu memperkenalkan dasar untuk menarik bakat terbaik dunia bagi memperkukuh inovasi, reka bentuk dan pembangunan harta intelek (IP), selain mempercepat pemindahan teknologi dan pembangunan keupayaan di Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Negara Kearney Malaysia Keat Yap berkata sokongan terhadap syarikat reka bentuk IC perlu diperluas kepada peringkat pembangunan yang berintensifkan modal, termasuk fabrikasi prototaip, pengujian, pengesahan silikon dan kelayakan pelanggan.
“Pembiayaan juga harus dihubungkan dengan permintaan industri yang sebenar, dengan melibatkan bakal pelanggan pada peringkat awal bagi membimbing pembangunan yang perlu menjadi keutamaan,” kata beliau.
Mengenai cadangan penambahbaikan insentif hab perkhidmatan global, Yap berkata kebenaran untuk melanjutkan tempoh insentif bagi setiap lima tahun sehingga maksimum 30 tahun, boleh memberikan kepastian jangka panjang yang lebih baik untuk syarikat multinasional yang menubuhkan operasi serantau di Malaysia.
Beliau berkata manfaat ekonomi yang lebih luas juga harus dinilai berdasarkan ekosistem yang dibangunkan di sekitar hab itu, memandangkan kehadiran mereka boleh menjana permintaan untuk pembekal Malaysia dan penyedia perkhidmatan khusus.
Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM459.8 bilion, merangkumi RM376.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM83 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Antara pengumuman yang berkaitan dengan semikonduktor ialah inisiatif untuk menarik pelaburan semikonduktor global ke Kulim Hi-Tech Park dan penubuhan Dana Pelaburan Strategik bernilai RM100 juta oleh Khazanah Nasional Bhd dan InvestPenang.
-- BERNAMA