Kenaikan Gaji Minimum Satu Pembaharuan Penting Bagi Pasaran Tenaga Kerja - KWSP
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kenaikan kadar gaji minimum kepada RM2,000 merupakan satu reformasi penting terhadap pasaran tenaga kerja yang akan meningkatkan kesejahteraan pekerja, sekali gus menyokong kecukupan simpanan persaraan yang lebih baik bagi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata ia juga merupakan satu usaha penting bagi menjamin pekerja menerima bahagian yang lebih adil daripada hasil pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati bersama.
“KWSP turut menyokong inisiatif untuk menaikkan kadar gaji kehidupan wajar bagi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kepada RM3,400 sebulan dan komited untuk melaksanakannya dengan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan ketika mengulas mengenai Belanjawan 2027 yang dibentang di Parlimen hari ini.
Dalam kenyataan itu juga, Ahmad Zulqarnian berkata Belanjawan 2027 turut memperluaskan akses kepada simpanan persaraan lebih awal iaitu menerusi pendaftaran warganegara Malaysia secara automatik sebagai ahli KWSP apabila mencapai usia 18 tahun.
“Program i-Saraan Plus bagi pemandu e-panggilan dan p-panggilan juga akan diteruskan.
“Pemandu yang layak boleh menerima insentif padanan kerajaan sebanyak 20 peratus, tertakluk kepada had maksimum RM600 setahun dan RM6,000 sepanjang hayat sehingga mencapai umur persaraan minimum negara,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zulqarnian berkata KWSP terus menggalakkan ahlinya agar merancang penggunaan simpanan mereka selepas bersara.
“Melalui i-Emas, ahli boleh memilih bayaran bulanan bagi pengeluaran umur 55 dan 60 tahun sebagai alternatif berbanding pengeluaran secara penuh.
“Baki simpanan yang kekal dalam KWSP akan terus menerima dividen tahunan, sekali gus membantu simpanan bertahan lebih lama sebagai sumber pendapatan selepas persaraan,” tambahnya.
-- BERNAMA