BERITA TERKINI   Dua wanita maut kereta dinaiki terbakar dalam kemalangan dengan lori di Jalan Yong Peng-Ayer Hitam,Johor petang tadi - Bomba | Piala FA: JDT 4-1 Penang FC | Belanjawan 2027 bukti komitmen kerajaan tangani permasalahan rakyat khususnya golongan M40 - TPM Ahmad Zahid | Belanjawan 2027: Kerajaan setuju naikkan jumlah kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan kepada 490 hari daripada 360 hari | Belanjawan 2027: Kadar pencen terendah akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan, manfaatkan hampir 59,000 pesara, veteran ATM dan penerima pencen terbitan | 

Belanjawan 2027 Pacu Pertumbuhan Pasaran Modal Negara – SC

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Langkah utama yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dijangka memperkukuh usaha Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memacu pertumbuhan ekonomi melalui pembentukan dan penggemblengan modal yang cekap.

SC memaklumkan pengumuman itu akan mempercepat pelaksanaan keutamaan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP), sekali gus meningkatkan daya hidup, keterangkuman, kemampanan dan daya saing serantau pasaran modal Malaysia.

Pengerusinya Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata langkah Belanjawan 2027 yang menyasarkan syarikat dan instrumen pasaran modal merupakan langkah awal ke arah merealisasikan aspirasi CMP, termasuk memperluas pertumbuhan pasaran serta meningkatkan keterangkuman.

Ad Banner

“Di bawah teras serantau dan daya hidup pasaran, matlamatnya adalah untuk mewujudkan syarikat peneraju serantau, di samping menjadikan Malaysia destinasi pelaburan dan hab pengumpulan dana.

“Geran padanan bagi penyenaraian dwi di Bursa Malaysia dan Bursa Saham Hong Kong akan membolehkan syarikat Malaysia mengakses sumber modal serantau yang lebih luas serta mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas Belanjawan 2027 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata langkah Belanjawan 2027 turut menyokong sasaran SC untuk menggembleng pembiayaan mampan berjumlah RM90 bilion hingga RM100 bilion menjelang 2030 di bawah CMP.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Potongan cukai bagi kos penerbitan yang layak untuk terbitan Sukuk PRISMA yang diluluskan SC akan menyokong pertumbuhan pembiayaan Islam mampan, selain meningkatkan daya tarikan Malaysia kepada pelabur antarabangsa.

“Selain itu, pengecualian cukai pendapatan bagi geran yang diterima di bawah Skim Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) serta Skim Geran Bon mulai 1 Jan 2027 akan membantu mengurangkan kos penerbitan dan menggalakkan penggunaan penyelesaian pembiayaan mampan,” katanya.

Bagi memperluas akses kepada modal, Mohammad Faiz berkata SC menyambut baik peruntukan RM270 juta untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui platform pendanaan awam ekuiti (ECF) dan pembiayaan rakan setara (P2P).

Beliau berkata pelanjutan sokongan fiskal bagi pembiayaan melalui ECF dan P2P turut memperkukuh ekosistem pembiayaan alternatif, sekali gus membantu lebih banyak perniagaan mendapatkan dana pada pelbagai peringkat pertumbuhan serta merancakkan landskap keusahawanan negara.

-- BERNAMA