Kemudahan Pembiayaan RM57 Bilion Menerusi Belanjawan 2027 Sokong Pertumbuhan Perniagaan — FMM
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Peningkatan jumlah kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan kepada RM57 bilion pada 2027 akan memperkukuh akses perniagaan kepada pembiayaan serta menyokong keperluan pelaburan mereka, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
Presidennya Jacob Lee Chor Kok berkata kemudahan itu merangkumi jaminan berjumlah RM32 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC).
“Pelanjutan perlindungan SJPP kepada syarikat bersaiz sederhana merentas semua sektor, peningkatan had jaminan kepada RM50 juta serta peruntukan jaminan sebanyak RM1 bilion bagi membantu syarikat tempatan mengembangkan perniagaan melalui penggabungan dan pengambilalihan.
“Langkah ini akan menyokong pelaburan, pertumbuhan perniagaan dan penyatuan industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata FMM turut mengalu-alukan pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada 14 peratus bagi RM150,000 pertama pendapatan bercukai dan 16 peratus bagi RM450,000 berikutnya sekali gus memberi penjimatan cukai sehingga RM6,000 bagi setiap perusahaan yang layak.
Lee memberitahu semakan semula elaun pelaburan semula mampu menggalakkan pengeluar sedia ada untuk melabur semula dalam pemodelan automasi, teknologi termaju, pemodenan dan peluasan kapasiti.
"Sokongan terhadap pelaburan baharu dan pelaburan semula adalah penting bagi mengukuhkan daya saing industri serta mencipta peluang pekerjaan bernilai lebih tinggi," tambah beliau.
Beliau memaklumkan FMM turut menyambut baik peruntukan RM60 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi mengukuhkan keupayaan syarikat-syarikat Malaysia untuk menembusi dan mempelbagaikan pasaran eksport.
Katanya syarikat-syarikat berkenaan akan dilengkapi dengan pembiayaan RM1 bilion daripada Bank Pembangunan Malaysia Bhd untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang meneroka pasaran luar negara.
-- BERNAMA