LIAM Sambut Baik Subsidi MediAsas RM200 Untuk Pekerja PKS Yang Layak
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) memaklumkan bahawa subsidi premium tahun pertama sebanyak RM200 daripada kerajaan di bawah pelan MediAsas untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak akan membantu meluaskan akses kepada perlindungan perubatan asas dalam kalangan pekerja.
Menurut LIAM dalam satu kenyataan hari ini, pelan tersebut dijangka menawarkan premium yang berpatutan, dengan bayaran hospital berdasarkan diagnosis dan rawatan bagi memperkukuh kawalan kos serta meningkatkan kebolehramalan kos.
“Pelan ini akan menyokong usaha menjadikan perlindungan perubatan lebih mudah diakses dan mampan dalam jangka masa panjang, di tengah-tengah peningkatan kos penjagaan kesihatan.
“Ia boleh membantu meringankan beban kewangan perniagaan yang lebih kecil dan menggalakkan akses yang lebih meluas kepada perlindungan perubatan dalam kalangan pekerja mereka,” menurut kenyataan itu,
Kenyataan tersebut adalah susulan kepada pengumuman MediAsas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan melancarkan pelan MediAsas pada Januari, 2027 dengan kadar premium yang mampu milik.
Di bawah Belanjawan 2027, kerajaan akan memberikan subsidi premium tahun pertama sebanyak RM200 bagi setiap pekerja untuk PKS yang layak, dengan had maksimum 50 pekerja bagi setiap syarikat.
Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada sehingga 200,000 pekerja.
Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark O’Dell berkata akses kepada perlindungan perubatan merupakan bahagian penting dalam kesiapsiagaan kewangan.
“Inisiatif seperti MediAsas boleh membantu lebih ramai rakyat Malaysia mengambil langkah pertama ke arah menguruskan risiko kewangan yang berkaitan dengan kemasukan ke hospital dan rawatan perubatan,” katanya.
Pelan ini akan menawarkan produk insurans perubatan dan takaful kendiri di bawah dua pilihan: MediAsas Teras, iaitu pelan standard, dan MediAsas Fleksi, iaitu pelan standard-plus. Perlindungan akan disediakan untuk individu sehingga umur 85 tahun.
Ia disasarkan kepada individu yang tidak mempunyai insurans perubatan atau takaful bagi menampung kos perubatan yang besar, serta mereka yang mencari alternatif lebih mampu milik berikutan peningkatan premium insurans atau takaful perubatan dan kesihatan seiring dengan peningkatan usia.
LIAM memaklumkan bahawa pihaknya berhasrat untuk bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), agensi kerajaan yang berkaitan, dan syarikat insurans yang mengambil bahagian bagi menyokong pengenalan MediAsas serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pelan tersebut.
“Pelan ini boleh menjadi titik permulaan penting bagi individu dan keluarga untuk mempertimbangkan keperluan pembiayaan dan perlindungan penjagaan kesihatan mereka secara lebih menyeluruh,” menurut LIAM.
Sementara itu, langkah-langkah lain yang diumumkan oleh Anwar bagi MediAsas termasuk menetapkan caj hospital berdasarkan kategori diagnosis dan rawatan bagi menjadikan kos perubatan lebih mudah dijangka dan diuruskan.
Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur di bawah 55 tahun juga akan dibenarkan menggunakan simpanan Akaun Sejahtera mereka untuk membayar premium MediAsas.
-- BERNAMA