BERITA TERKINI   Dua maut termasuk seorang bayi dalam kemalangan libatkan tiga kereta dan sebuah motosikal di Jalan Gua Musang-Kuala Krai petang ini - Bomba Kelantan | Jerebu: Sekolah di Kinta Utara, Kinta Selatan dan Kuala Kangsar di Perak kembali dibuka esok - Exco | Jerebu: Sekolah di Sentul dan Keramat dibuka semula esok, Bangsar Pudu kekal ditutup - Jabatan Pendidikan WPKL | Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026-2030 tumpu pengesanan awal dan rawatan penyakit hati - Dzulkefly  | KKM percepat pelantikan tetap pegawai farmasi kontrak, 3,545 masih berkhidmat setakat Julai lepas - Dzulkefly | 

Sambungan Jajaran ECRL, Laluan KTM, Kemudahan Sempadan Perlu Dirancang Sebagai Satu Sistem -- Mitrans

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Cadangan untuk menyambung jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang, iaitu sambungan rel KTM ke Thailand dan kemudahan sempadan yang berkaitan mesti dirancang sebagai satu sistem bagi memperkukuh kesalinghubungan rentas sempadan serta memudahkan perdagangan antara Malaysia dengan Thailand. 

Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Universiti Teknologi MARA Profesor Madya Dr Mohd Fathi Abu Yaziz berkata ia memerlukan penyelarasan berhubung penyambungan jajaran itu dengan rel KTM antara Pasir Mas dan Sungai Golok menerusi Rantau Panjang.

Ad Banner

Katanya, persetujuan untuk memulihkan sambungan tersebut, seterusnya akan menyediakan sambungan ke rangkaian kereta api Thailand. 

Beliau juga berkata stesen pertukaran kereta api dan terminal kontena untuk pemindahan kargo,  jambatan kedua Rantau Panjang–Sungai Golok serta kompleks imigresen, kastam, kuarantin dan keselamatan (ICQS) yang baharu juga mesti dirancang secara bersepadu.

“Semua projek ini dikendalikan oleh beberapa kementerian yang berbeza dan ia mesti dirancang sebagai satu sistem dan bukannya secara berasingan,” katanya kepada Bernama ketika mengulas mengenai Belanjawan 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, yang merangkumi cadangan penyambungan jajaran ECRL ke Rantau Panjang, Kelantan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mohd Fathi berkata landasan itu sahaja tidak akan dapat merealisasikan potensi manfaat perdagangan hasil daripada penyambungan jajaran itu.

Oleh itu, beliau menggesa pelaksanaan satu prosedur pelepasan sempadan secara bersama atau sehenti, pra-pelepasan elektronik dan perkongsian data, penyelarasan piawaian kuarantin dan halal, serta perjanjian operasi rel dua hala. 

“Tanpa kemudahan ini, kereta api akan terpaksa menunggu di sempadan dan kelebihan masa bagi pengangkutan rel akan hilang,” katanya. 

Selain itu, Mohd Fathi menekankan bahawa ECRL menggunakan landasan tolok piawai manakala landasan kereta api Thailand menggunakan tolok meter, menjadikan kemudahan pemindahan kargo yang cekap satu keperluan penting. 

“Tanpa kemudahan itu, ECRL hanya akan berakhir di sempadan,” katanya. 

Beliau juga berkata penyambungan jajaran itu akan mewujudkan koridor rel pengangkutan barang yang menyambungkan selatan Thailand, menerusi Kelantan ke Pelabuhan Kalng dan laluan perkapalan antarabangsa. 

“Barangan seperti getah, produk industri makanan berasaskan pertanian, produk halal dan barangan pengguna boleh dipindahkan daripada lori ke rel, sekali gus mengurangkan kos logistik serta menjadikan Kelantan sebagai pintu masuk dan bukannya sekadar sebagai destinasi akhir,” katanya. 

Pada masa sama, Mohd Fathi mencadangkan pembangunan zon logistik, pemprosesan dan pembungkusan di sekitar stesen Rantau Panjang bagi memastikan manfaatnya terus kekal di Kelantan dan bukan sekadar melalui kawasan itu. 

“Peniaga sedia ada, termasuk mereka di zon bebas cukai Rantau Panjang, seharusnya mendapat bantuan peralihan dan bukannya disingkirkan,” katanya. 

-- BERNAMA