Belanjawan 2027 Tangani Tekanan Kos Sara Hidup Isi Rumah Di Bandar - SEAFIC
KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2027 menangani tekanan yang dihadapi isi rumah di bandar termasuk golongan berpendapatan sederhana yang semakin terkesan selain golongan berpendapatan rendah menerusi beberapa langkah, menurut Pusat Inisiatif Masa Depan Asia Tenggara (SEAFIC).
SEAFIC dalam kenyataan memaklumkan langkah itu meliputi aspek berkaitan gaji, perumahan, perlindungan sosial dan kemampuan untuk mendapatkan makanan pada harga yang berpatutan.
Antara langkah yang diketengahkan SEAFIC adalah kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 bermula Jun 2027 bagi syarikat yang mempunyai perolehan tahunan melebihi RM50 juta, yang melibatkan lebih empat juta pekerja.
“Cadangan gaji permulaan sebanyak RM2,500 bagi siswazah dan pekerjaan separa mahir memberikan mereka kedudukan kewangan yang lebih kukuh untuk menyewa rumah, menabung atau membuat pinjaman.
“Penanda aras gaji kehidupan wajar bagi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meningkat daripada RM3,100 kepada RM3,400 untuk 230,000 pekerja sekali gus menetapkan penanda aras bagi majikan sektor swasta,” menurut SEAFIC dalam kenyataan.
Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan menjamin pinjaman berjumlah RM20 bilion untuk 80,000 pembeli rumah kali pertama manakala Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank akan menyediakan RM270 juta bagi membantu pekerja gig memulakan perniagaan dan membeli rumah.
Mengenai kemampuan mendapatkan makanan pada harga berpatutan, SEAFIC memaklumkan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kini boleh digunakan untuk membeli hasil pertanian segar melibatkan 216 pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Peruntukan bagi Jualan Rahmah dan Agro MADANI turut ditingkatkan kepada RM750 juta, dengan 30,000 program Jualan Rahmah dirancang di kawasan perumahan awam bandar bagi membantu mengurangkan kos barangan keperluan harian dan pengangkutan.
“Langkah penting lain bagi menangani tekanan kos sara hidup di bandar termasuk MyKomuter50, yang membolehkan pengguna berjimat sehingga RM160 sebulan, pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 serta Medi Asas, iaitu pelan insurans perubatan yang melengkapi langkah perlindungan sosial lain,” menurut kenyataan itu.
Pengerusi SEAFIC Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata belanjawan itu menangani isu yang terus diberikan perhatian oleh SEAFIC terutama kesan perkembangan geopolitik dan geoekonomi yang lebih meluas terhadap perniagaan dan isi rumah.
“Langkah seterusnya adalah memastikan pendekatan ini dilaksanakan. Sekiranya dilakukan dengan baik, Malaysia boleh menunjukkan kepada rantau ini bahawa pertumbuhan ekonomi dan sokongan yang lebih menyeluruh kepada isi rumah boleh bergerak seiring,” katanya dalam kenyataan sama.
-- BERNAMA