BERITA TERKINI   Dua maut termasuk seorang bayi dalam kemalangan libatkan tiga kereta dan sebuah motosikal di Jalan Gua Musang-Kuala Krai petang ini - Bomba Kelantan | 

Pemain Industri Puji Langkah Berani Belanjawan 2027 Bagi Memacu Digital, AI

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Industri digital Malaysia menyambut baik Belanjawan 2027 sebagai satu langkah penting bagi mempercepatkan transformasi digital dan aspirasi kecerdasan buatan (AI) negara, sambil memuji tumpuan komprehensif terhadap ekonomi digital, infrastruktur, rakyat dan kerajaan. 

Menurut pemain industri, inisiatif yang digariskan dalam belanjawan itu berpotensi mengukuhkan daya saing perniagaan, memacu penggunaan AI, meningkatkan ketersambungan dan memodenkan perkhidmatan awam, serta memastikan lebih ramai rakyat Malaysia menerima manfaat daripada ekonomi digital. 

Presiden Persatuan Digital Malaysia (MDA) Nicholas Sagau menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai isyarat jelas terhadap hasrat Malaysia untuk meletakkan dirinya sebagai peneraju ekonomi digital yang dipacu AI.

Ad Banner

“Belanjawan 2027 menunjukkan komitmen kukuh Malaysia terhadap transformasi digital dan kemajuan AI.

“Walaupun pelaburan dalam pusat data, infrastruktur dan rangka kerja dasar adalah penting, apa yang lebih menggalakkan ialah tumpuan untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran dan peralatan yang diperlukan untuk meraih kejayaan dalam masa hadapan yang dipacu AI,” katanya dalam satu kenyataan. 

Nicholas berkata nilai sebenar belanjawan tersebut akhirnya bergantung kepada sejauh mana perniagaan dan individu menterjemahkan semua peluang itu kepada hasil yang praktikal.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Peluang sebenar terletak pada usaha mengubah semua inisiatif itu menjadi penggunaan AI yang berkesan, produktiviti yang lebih tinggi dan ruang baharu bagi pertumbuhan ekonomi,” katanya. 

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan langkah seperti peruntukan tambahan 100,000 langganan percuma AI bagi golongan muda Malaysia, akses kepada lebih 16,000 kursus dan pensijilan digital, serta inisiatif yang menyasarkan pembangunan bakat sedia ada dalam AI.

“Kejayaan tidak sepatutnya diukur semata-mata berdasarkan bilangan langganan atau kursus yang ditawarkan.

“Ia sebaliknya harus dicerminkan menerusi cara rakyat Malaysia memanfaatkan semua peluang ini untuk membina kerjaya, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan peluang ekonomi baharu,” katanya. 

 

Infrastruktur Yang Kukuh Kunci Mengekalkan Pertumbuhan 

 

Pengerusi Malaysia Internet Exchange (MyIX) Chiew Kok Hin berkata pelaburan berterusan dalam infrastruktur digital kekal penting bagi menyokong ekosistem digital negara yang semakin berkembang. 

Antara inisiatif yang disambut baik oleh MyIX ialah pelaksanaan berterusan JENDELA, pelancaran Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM), dan rancangan untuk membangunkan awan AI berdaulat. 

“Ketersambungan yang boleh dipercayai, mampu milik dan selamat merupakan tunjang kepada transformasi digital.

“Langkah memperkukuhkan infrastruktur kita akan membantu perniagaan berkembang, meningkatkan akses kepada perkhidmatan digital dan memastikan masyarakat di luar pusat bandar tidak ketinggalan,” kata Chiew. 

Beliau berkata puncak trafik internet di MyIX telah meningkat hampir 10,000 ganda sejak 2006, sekali gus menunjukkan pertumbuhan pesat dalam permintaan terhadap ketersambungan dan perkhidmatan digital. 

Selain infrastruktur rangkaian, MyIX turut memajukan keterangkuman digital menerusi Program CSR Bilik Darjah Digitalnya, yang menyediakan papan pintar kepada sekola, khususnya di komuniti yang kurang mendapat liputan dalam usaha meningkatkan peluang pembelajaran digital.

Presiden Internet Alliance Dr Sunny Ooi pula menyambut baik penekanan yang diberikan oleh belanjawan itu terhadap kerajaan digital, terutamanya peruntukan RM947.29 juta bagi Perkhidmatan Kerajaan Digital dan sasaran untuk menjadikan 85 peratus perkhidmatan kerajaan tersedia sepenuhnya secara dalam talian menjelang 2027.

“"Pada asasnya, kerajaan digital bertujuan memudahkan kehidupan rakyat dan perniagaan.

“Perkhidmatan secara dalam talian yang cekap mengurangkan kertas kerja, memendekkan masa pemprosesan dan mengurangkan kos pentadbiran, selain meningkatkan ketelusan serta kualiti penyampaian perkhidmatan awam," katanya.

Selain itu, Ooi berkata peningkatan penggunaan MyDigital ID yang telah melepasi angka 14 juta pengguna berdaftar merentasi 203 perkhidmatan awam dan swasta, sebagai bukti kepada kesediaan negara untuk melaksanakan transaksi digital yang selamat dan lancar. 

Beliau berkata penggunaan AI, automasi dan sistem kerajaan bersepadu yang lebih meluas boleh meningkatkan lagi kecekapan dan mengurangkan birokrasi. 

Pada masa sama, Ooi menyambut baik peluang bagi penyedia teknologi tempatan untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membangunkan perkhidmatan digital yang selamat, boleh dipercayai dan mesra pengguna. 

“Kerjasama seperti itu boleh memperkasa kemampuan industri tempatan di samping memastikan inisiatif digital memberi manfaat kepada rakyat,” katanya. 

Ooi turut mengalu-alukan peruntukan RM30 juta menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi mempercepatkan penggunaan AI dan automasi dalam kalangan 4,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain program untuk melatih 5,000 profesional dalam bidang AI. 

“Pada asasnya, AI merupakan alat produktiviti, terutamanya bagi PKS yang beroperasi dengan tenaga kerja dan sumber yang terhad.

“Dengan mengautomasikan proses berulang, meningkatkan penglibatan pelanggan, memperkemas operasi dan menganalisis data perniagaan dengan lebih berkesan, syarikat dapat mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan serta memberi tumpuan kepada pertumbuhan," katanya.

Pada masa sama, beliau percaya inisiatif itu dapat membantu perniagaan yang lebih kecil mengatasi halangan biasa dalam penggunaan AI, di samping mempersiapkan tenaga kerja bagi masa hadapan yang dipacu oleh teknologi.

“Ini adalah mengenai usaha bagi membolehkan PKS Malaysia melakukan lebih banyak dengan sumber yang lebih terhad, menjadi lebih berdaya saing dan beralih kepada aktiviti yang bernilai lebih tinggi," katanya. 

Persatuan industri turut bersetuju bahawa kerjasama erat antara sektor awam dan swasta adalah penting bagi menterjemahkan aspirasi digital Belanjawan 2027 kepada hasil yang boleh diukur, terutama dalam meningkatkan produktiviti, pembangunan bakat dan daya saing negara. 

Selain itu, mereka juga mengiktiraf kepimpinan Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam memacu aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030, khususnya melalui tumpuan yang diberikannya untuk membangunkan ekosistem digital yang holistik merangkumi infrastruktur, inovasi, bakat dan penggunaan AI yang bertanggungjawab.

Ooi, khususnya berkata Gobind telah menyediakan hala tuju yang jelas bagi perjalanan AI dan digital Malaysia, dengan Belanjawan 2027 memberikan momentum tambahan kepada visi tersebut.

“Keutamaan kini ialah pelaksanaan. Pihak industri bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan semua inisiatif ini memberikan manfaat sebenar dan berterusan kepada perniagaan, rakyat serta ekonomi," katanya.

-- BERNAMA