BERITA TERKINI   Dua maut termasuk seorang bayi dalam kemalangan libatkan tiga kereta dan sebuah motosikal di Jalan Gua Musang-Kuala Krai petang ini - Bomba Kelantan | 

Indonesia, Mesir Usahakan Perjanjian Perkongsian Ekonomi, Dana Pelaburan Bersama

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 11 Okt (Bernama) -- Indonesia dan Mesir sedang mengusahakan Perjanjian Perkongsian Ekonomi (EPA) serta penubuhan dana pelaburan bersama bagi memperteguh kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata inisiatif itu dibincangkan semasa rundingan dua hala dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Jakarta pada Ahad.

Ad Banner

“Kami juga bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang terutama perdagangan dan pelaburan, dan untuk tujuan itu, kami menggalakkan penubuhan EPA antara Indonesia dan Mesir,” katanya pada sidang media bersama selepas pertemuan itu.

El-Sisi tiba di Jakarta pada Sabtu untuk lawatan negara selama dua hari ke Indonesia.

Beliau mengadakan rundingan dua hala dengan Prabowo di Istana Merdeka pada Ahad, diikuti dengan kenyataan bersama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Prabowo turut menyambut baik inisiatif institusi pelaburan kedua-dua negara untuk menubuhkan dana pelaburan bersama bagi menggalakkan pelaburan dalam projek strategik.

Sebelum ini, Indonesia mencadangkan rundingan mengenai perjanjian perdagangan keutamaan dan perdagangan bebas dengan Mesir.

Menteri Perdagangan Indonesia Budi Santoso membangkitkan perkara itu semasa perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Mesir di Jaipur, India, pada 7 Ogos, menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Indonesia yang dikeluarkan pada hari sama.

Dalam kenyataan sama, kementerian itu melaporkan bahawa perdagangan dua hala mencecah US$2.38 bilion (US$1=RM4.08) pada 2025, merangkumi eksport Indonesia sebanyak US$1.94 bilion dan import US$439.8 juta, sekali gus memberikan Indonesia lebihan dagangan kira-kira US$1.5 bilion.

Menurutnya perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah US$1.74 bilion pada separuh pertama 2026, merangkumi eksport Indonesia sebanyak US$1.09 bilion dan import dari Mesir sebanyak US$647.7 juta.

Prabowo berkata lawatan negara El-Sisi itu turut menghasilkan beberapa perjanjian dua hala yang meliputi hal ehwal maritim dan perikanan, statistik, pelaburan, kerjasama industri pertahanan, perdagangan dan kerjasama ekonomi serta pelan tindakan untuk meningkatkan kerjasama strategik kedua-dua negara.

Indonesia dan Mesir meningkatkan hubungan dua hala kepada kerjasama strategik ketika lawatan Prabowo ke Kaherah pada April 2025, dengan kedua-dua pemimpin pada Ahad turut bersetuju untuk memperkukuh rundingan peringkat tinggi secara berkala serta mekanisme dua hala sedia ada bagi menambah baik dialog strategik dan penyelarasan.

-- BERNAMA