KUSKOP Laksana Tiga Strategi Pulihkan Kewangan KPF, Tangani Tunggakan Tebusan Syer
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melaksanakan tiga langkah strategik menerusi Pelan Pemulihan Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) bagi meningkatkan kecairan kewangan koperasi itu dan menyelesaikan isu pembayaran tebusan syer anggota secara berperingkat.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata langkah itu diselaraskan menerusi Jawatankuasa Petugas Khas (JTF) yang turut dianggotai wakil FELDA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan KPF.
Beliau berkata tiga langkah berkenaan merangkumi pelupusan ekuiti dalam lapan syarikat kumpulan FGV Holdings Bhd bernilai RM229.8 juta, pelupusan keseluruhan atau sebahagian Ladang Samarahan serta pelupusan sebahagian aset hartanah secara berfasa.
"Dalam hal ini, KUSKOP melalui SKM memberikan perhatian serius terhadap kedudukan kewangan, tadbir urus dan keupayaan operasi KPF bagi memastikan koperasi itu kekal sihat, berdaya maju serta mampu memenuhi tanggungjawabnya kepada anggota.
"Sehubungan itu, beberapa langkah pemantauan dan intervensi telah dilaksanakan, termasuk menerusi JTF yang dianggotai wakil FELDA, SKM dan KPF," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang ingin mengetahui langkah pemantauan dan intervensi kementerian bagi memastikan KPF menyelesaikan tunggakan bayaran tebusan syer anggota, selain menetapkan garis masa pembayaran yang jelas.
Mohamad berkata usaha pemulihan itu turut selaras dengan model perniagaan baharu FGV Palm Industries yang beralih daripada kaedah tolling kepada model komersial, seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini. Peralihan itu diunjurkan menjana pendapatan tambahan sebanyak RM42 juta kepada KPF.
Mengenai tuntutan penebusan syer yang masih tertunggak, beliau berkata KUSKOP menerusi SKM sentiasa memantau aliran tunai KPF dengan memberi keutamaan kepada pembayaran bagi kes kritikal dan mendesak, termasuk keperluan kesihatan, pendidikan, urusan keagamaan serta kes mahkamah.
Menjawab soalan tambahan Kamal mengenai jumlah sebenar anggota yang menuntut penebusan syer, Mohamad berkata KPF menerima tuntutan penebusan syer daripada 42,314 anggota bagi tempoh 2021 hingga 31 Ogos 2026, berjumlah RM984.87 juta, dengan baki RM429.67 juta masih belum dibayar.
-- BERNAMA