BERITA TERKINI   Kanak-kanak lelaki 11 tahun maut akibat kecederaan di kepala dipercayai berpunca senjata api buatan sendiri ‘Ginsok’ di Sook Sabtu lepas - Ketua Polis Daerah Keningau | Polis rampas 42 laras senapang angin, 456 kotak kecil peluru serta tahan lelaki 50 tahun dalam operasi di Sook semalam - Ketua Polis Daerah Keningau | Jerebu: Johor laksana solat hajat di semua masjid dan surau bermula hari ini sehingga keadaan kembali pulih - Exco Mohd Fared | Jerebu: Sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat, Sepang, Kuantan dan Rompin turut ditutup esok - Fadhlina | Sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya ditutup esok - Fadhlina | 

IOIPG Malaysia REIT Memeterai Perjanjian Penaja Jamin Untuk IPO Pasaran Utama

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust (IOIPG REIT), yang bakal tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, telah menandatangani perjanjian penaja jamin dengan sindiket enam institusi kewangan untuk tawaran awam permulaannya (IPO).

Pengurus REIT itu, IOIPG REIT Management Sdn Bhd berkata ia, penajanya IOI Properties Group Bhd dan pemegang amanah MTrustee Bhd telah memeterai perjanjian dengan Maybank Investment Bank Bhd, AmInvestment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd, Hong Leong Investment Bank Bhd, RHB Investment Bank Bhd serta UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd.

Enam penaja jamin bersama itu akan menaja jamin agregat sebanyak 165 juta unit tawaran di bawah tawaran awam dan tawaran borang merah jambu terhad, tertakluk kepada peruntukan “clawback” dan peruntukan semula, katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Ad Banner

IPO itu melibatkan sehingga 2.20 bilion unit tawaran, merangkumi tawaran runcit sebanyak 715.61 juta unit dan tawaran institusi berjumlah 1.48 bilion unit.

IOIPG REIT dijangka melancarkan prospektusnya menjelang suku keempat 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif IOIPG REIT Management, Chris Chong berkata pemeteraian perjanjian penaja jamin ini merupakan langkah penting ke arah merealisasikan penyenaraian IOIPG REIT.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata industri pelancongan Malaysia terus mendapat momentum, menjana RM323 bilion dan menyumbang 15.9 peratus daripada keluaran dalam negara kasar pada 2025, dengan ketibaan antarabangsa disasarkan mencecah 47 juta pada 2026 di bawah kempen Melawat Malaysia 2026, yang sejak itu telah dilanjutkan ke 2027.

“Pertumbuhan pelancongan yang mampan ini memberi petanda baik bagi aset-aset hotel dan runcit kami, dengan sektor perdagangan runcit Malaysia kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh termasuk lonjakan dalam perbelanjaan pelancong,” katanya dalam kenyataan itu.

Portfolio aset awal IOIPG REIT terdiri daripada sembilan aset yang berada di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada nilai kira-kira RM7.66 bilion setakat 31 Mei 2026.

 

Hartanah tersebut merangkumi pusat membeli belah terbesar di Malaysia IOI City Mall; enam hotel yang beroperasi di bawah keluarga jenama Marriott International dan dua pembangunan pejabat iaitu IOI City Towers serta PFCC Towers.

-- BERNAMA