Defisit Fiskal Dijangka Susut, Risiko Perbelanjaan Kekal - BMI
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- BMI mengekalkan unjurannya bahawa defisit fiskal Malaysia akan menyusut kepada 3.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2027 berbanding anggaran 3.6 peratus pada 2026.
Unit Fitch Solutions itu menjangkakan kerajaan akan mencapai sasaran hasil sebanyak RM380.8 bilion pada 2027, meningkat 4.7 peratus tahun ke tahun berbanding sasaran 2026 yang disemak naik kepada RM363.3 bilion.
“Kami menjangkakan kutipan hasil akan mendapat manfaat daripada prospek pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan.
“Kementerian Kewangan telah menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2026 kepada 4.8 hingga 5.3 peratus (BMI: 5.1 peratus) daripada 4.0 hingga 5.0 peratus sebelum ini. Pertumbuhan dijangka sederhana kepada 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027 (BMI: 4.5 peratus),” menurut BMI dalam satu kenyataan.
BMI memaklumkan kegiatan ekonomi yang berdaya tahan dijangka menyokong kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), yang meningkat daripada kira-kira 7.5 peratus daripada jumlah hasil pada 2009 kepada 18.0 peratus pada separuh pertama (S1) 2026.
Sementara itu, kenaikan harga minyak dijangka meningkatkan hasil berkaitan petroleum Malaysia, disokong kedudukan negara sebagai pengeksport bersih tenaga.
Kerajaan menjangkakan dividen daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) meningkat kepada RM32 bilion pada 2027 berbanding anggaran RM27 bilion pada 2026.
“Walaupun keadaan ini menunjukkan hasil berkaitan petroleum berkemungkinan meningkat sedikit daripada 2.5 peratus KDNK pada 2026 kepada 2.6 peratus pada 2027, trend penurunan kebergantungan Malaysia terhadap hasil berkaitan petroleum secara keseluruhan dijangka berterusan,” menurut BMI.
Perbelanjaan mengurus dijangka kekal tinggi, merangkumi 82 peratus daripada jumlah perbelanjaan, didorong peningkatan subsidi dan bantuan sosial, termasuk bantuan tunai RM16 bilion kepada isi rumah berpendapatan rendah serta kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 berbanding RM1,700 sebelum ini.
Peruntukan bagi subsidi dan bantuan sosial dinaikkan kepada RM74.5 bilion, bersamaan 3.2 peratus daripada KDNK, berbanding peruntukan asal RM49 bilion susulan peningkatan kos tenaga.
Walaupun perbelanjaan bagi tujuan itu dijangka berkurangan kepada RM72.7 bilion pada 2027, konflik berpanjangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran boleh meningkatkan lagi perbelanjaan subsidi.
Sementara itu, perbelanjaan pembangunan dijangka menurun untuk tahun ketiga berturut-turut kepada RM83 bilion pada 2027, bersamaan 3.6 peratus daripada KDNK. Jumlah itu lebih rendah berbanding purata tahunan RM86 bilion yang diperlukan bagi memenuhi komitmen kerajaan sebanyak RM430 bilion sehingga 2030.
BMI memaklumkan pengurangan perbelanjaan pembangunan boleh menjejaskan matlamat jangka panjang Malaysia dalam meningkatkan produktiviti dan inovasi, manakala keadaan El Niño yang teruk boleh mendorong pemberian subsidi tambahan kepada sektor pertanian.
Pada 9 Okt, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 dengan jumlah perbelanjaan RM459.8 bilion, meningkat 3.6 peratus berbanding Belanjawan 2026.
Kerajaan menyasarkan defisit fiskal sebanyak 3.3 peratus daripada KDNK pada 2027, mencerminkan proses pengukuhan fiskal secara berperingkat berbanding sasaran 3.6 peratus bagi 2026 yang disemak semula, berbanding sasaran asal 3.5 peratus, menurut BMI.
-- BERNAMA