BERITA TERKINI   Jerebu: Sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Sepang, Kuantan, Pekan, Rompin, Tawau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu ditutup esok, 14 Okt - Fadhlina | Jerebu: Sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup esok - Fadhlina | Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus dan STAM di Melaka diteruskan esok ikut jadual - JPN Melaka | Sekolah di Melaka kekal ditutup esok susulan jerebu - JPN Melaka | Fenomena Super El Nino dan kesan pemanasan global tahun depan dijangka pecahkan rekod suhu tertinggi negara 40.1°C - KP MetMalaysia | 

S P Setia Sambut Baik Langkah Belanjawan 2027 Sokong Pemilikan Rumah, Pertumbuhan Johor

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- S P Setia Bhd menyambut baik langkah dalam Belanjawan 2027 yang menyokong pemilikan rumah, pelaburan, pembangunan mampan serta daya tahan ekosistem pembinaan negara.

Pemaju hartanah itu turut mengalu-alukan pelanjutan pengecualian duti setem bagi pembelian rumah berharga sehingga RM750,000 hingga 2030, yang disifatkan dapat memperluas sokongan kepada bakal pembeli rumah dan meningkatkan akses kepada pemilikan kediaman.

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu memaklumkan pihaknya turut menyambut baik tumpuan berterusan terhadap Johor sebagai koridor ekonomi dan pelaburan, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), serta penambahbaikan kesalinghubungan serantau.

Ad Banner

“Inisiatif ini melengkapi kehadiran kukuh S P Setia di Johor serta pengembangan kumpulan itu dalam pembangunan perindustrian,” menurut kenyataan itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zaini Yusoff berkata penekanan berterusan terhadap pelaburan hijau menerusi Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) selaras dengan perancangan kumpulan itu untuk membangunkan Setia Fontaines Industrial Park sebagai taman perindustrian hijau akan datang.

“Bersama-sama momentum pertumbuhan Johor dan JS-SEZ, inisiatif ini menyokong strategi lebih luas S P Setia untuk mengembangkan segmen perindustriannya di samping perniagaan teras pembangunan perbandaran,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengenai sektor pembinaan, kumpulan itu menyambut baik pengenalan semula mekanisme perubahan harga (VOP) bagi membantu industri menangani turun naik harga input utama seperti diesel dan bitumen, sekali gus memberikan kepastian lebih tinggi kepada kontraktor.

S P Setia turut menekankan kepentingan mengawal kos pembinaan dan pembangunan perumahan bagi memastikan rumah berkualiti kekal mampu dimiliki rakyat Malaysia. Usaha meningkatkan produktiviti, kecekapan perolehan dan mengawal kos keseluruhan pelaksanaan projek penting bagi mengimbangi kemampuan pemilikan rumah dengan kemampanan sektor hartanah dan pembinaan.

Kumpulan itu turut memuji matlamat jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan penyediaan rumah mampu milik menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sambil menyatakan bahawa kerjasama sektor awam dan swasta dapat membantu membangunkan komuniti yang berkualiti, mampan dan mempunyai kesalinghubungan yang baik.

-- BERNAMA