Harga MSM Dijangka Dalam Julat RM4,400 Hingga RM4,600 Satu Tan Susulan El Nino
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tertekan akibat paras stok yang tinggi dan corak pengeluaran bermusim, dengan kemungkinan berlaku fenomena El Niño akan menyokong harga pada 2027, menurut firma penyelidikan.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) memaklumkan bahawa paras inventori yang tinggi berkemungkinan berterusan sehingga Oktober 2026 memandangkan pengeluaran menghampiri kemuncak bermusimnya, keadaan ini boleh memberi tekanan ke atas harga MSM.
"Bagaimanapun, inventori dijangka berkurangan selepas tempoh tersebut apabila pengeluaran bermusim mulai perlahan dan kesan tertangguh fenomena El Niño mula mempengaruhi hasil pengeluaran," menurut HLIB dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Firma itu mengekalkan unjuran purata harga MSM pada RM4,450 satu tan metrik bagi 2026 dan RM4,500 setan bagi 2027, serta mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor perladangan.
MBSB Investment Bank Bhd menjangkakan harga MSM kekal rendah pada Oktober, 2026, dengan purata sekitar RM4,518 setan, iaitu penurunan sebanyak 2.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Kebarangkalian berlaku fenomena El Niño telah meningkat kepada 90 peratus. Ini akan menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan, namun paras stok yang kekal tinggi berkemungkinan menyebabkan harga bergerak dalam julat tertentu sahaja, menurut bank itu.
MBSB menyatakan bahawa risiko penurunan harga dalam tempoh terdekat sebahagian besarnya didorong oleh faktor permintaan, paras stok mungkin kekal sekitar tahap psikologi penting iaitu tiga juta tan, jumlah itu mungkin menghampiri empat juta tan jika pengeluaran terus meningkat, sekali gus mengehadkan potensi kenaikan harga.
Sementara itu, CIMB Securities Sdn Bhd mengunjurkan harga MSM didagangkan antara RM4,400 dan RM4,600 setan dalam tempoh terdekat, walaupun paras inventori tinggi boleh mengehadkan kenaikan harga.
Menurut firma itu, harga tenaga yang lebih tinggi telah meningkatkan daya maju ekonomi biodiesel, manakala keadaan cuaca kering berpanjangan serta jerebu di beberapa kawasan di Indonesia dan Malaysia, ditambah pula dengan pengurangan penggunaan baja mungkin menjejaskan pengeluaran minyak sawit mulai 2027.
Pasaran hadapan juga menunjukkan jangkaan bekalan lebih terhad, kontrak niaga hadapan minyak sawit bagi bulan April-Mei 2027 didagangkan pada premium melebihi RM494 setan berbanding kontrak Disember 2026, gangguan penghantaran dari perairan Laut Hitam juga mungkin menyokong permintaan minyak sawit.
CIMB Securities merujuk kepada episod El Niño tahun 2015/2016, apabila kemarau teruk di Indonesia dan Malaysia mengurangkan pengeluaran minyak sawit, diikuti oleh penyusutan inventori pada separuh kedua tahun 2016.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran harga MSM bagi 2026 dan 2027, masing-masing pada paras RM4,450 dan RM4,550 setan, ia turut mengulangi semula penarafan ‘overweight’ bagi sektor perladangan.
Sementara itu, Apex Securities Bhd menganggarkan bahawa pengeluaran kumulatif MSM sehingga bulan September telah mencapai 71 peratus daripada unjuran keseluruhan 2026 sebanyak 20.7 juta tan.
Ia mengekalkan unjuran pengeluaran bagi 2026, bagaimanapun kesan tertangguh fenomena El Niño mungkin memberi impak kepada pengeluaran pada separuh pertama 2027.
"Kami mengekalkan unjuran purata harga MSM bagi 2026 pada RM4,500 setan, RM4,800 setan bagi separuh pertama 2027, dan RM4,600 bagi separuh kedua 2027.
Apex Securities turut menyatakan bahawa kenaikan gaji minimum dalam Belanjawan 2027 kepada RM2,000 daripada RM1,700, berkuat kuasa mulai Jun, 2027, merupakan faktor pertimbangan utama bagi sektor perladangan.
Kenaikan sebanyak 17.6 peratus itu boleh memberi tekanan kepada pendapatan syarikat perladangan dan menjejaskan keuntungan bersih mereka antara dua hingga 10 peratus.
"Walaupun Belanjawan 2027 merangkumi langkah-langkah lain, seperti komitmen berterusan terhadap pembangunan industri dan tuntutan semula cukai jualan pembuatan, kenaikan gaji minimum itu berkemungkinan memberi impak paling ketara kepada sektor berkenaan," menurut Apex Securities.
-- BERNAMA