BERITA TERKINI   Jerebu: Sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Sepang, Kuantan, Pekan, Rompin, Tawau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu ditutup esok, 14 Okt - Fadhlina | Jerebu: Sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup esok - Fadhlina | Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus dan STAM di Melaka diteruskan esok ikut jadual - JPN Melaka | Sekolah di Melaka kekal ditutup esok susulan jerebu - JPN Melaka | Fenomena Super El Nino dan kesan pemanasan global tahun depan dijangka pecahkan rekod suhu tertinggi negara 40.1°C - KP MetMalaysia | 

Labuan IBFC Naik 11 Anak Tangga Ke Kedudukan 44 Indeks Pusat Kewangan Global

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) melonjak 11 anak tangga ke kedudukan 44 daripada 117 pusat kewangan global dalam Indeks Pusat Kewangan Global (GFCI 40) terkini.

Menurutnya dalam kenyataan hari ini peningkatan itu merupakan lonjakan kedudukan kali ketiga berturut-turut dalam indeks berkenaan, iaitu daripada kedudukan ke-60 ke-55 dan kini ke-44.

“Kedudukan terkini itu mencerminkan peningkatan berterusan Labuan IBFC dalam tiga edisi indeks berturut-turut,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner

Labuan IBFC juga beralih daripada kategori “International Contender” atau pesaing antarabangsa kepada kategori “Specialised Centre” atau pusat khusus, sekali gus mencerminkan kekuatan yang diperakui dalam bidang insurans kaptif, kewangan Islam, perkhidmatan kewangan digital dan pengurusan kekayaan.

Menurutnya perkembangan itu mengukuhkan peranannya dalam ekosistem kewangan Malaysia, disokong oleh penawaran perkhidmatan kewangan khusus, rangka kerja kawal selia yang kukuh serta kedudukannya sebagai bidang kuasa bagi urusan perniagaan dan pelaburan rentas sempadan.

“Indeks itu menilai daya saing pusat kewangan di seluruh dunia serta menekankan faktor yang mempengaruhi landskap perkhidmatan kewangan global,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pembangunan Labuan IFC sebagai bidang kuasa kewangan ini disokong oleh penambahbaikan kawal selia yang berterusan, inisiatif untuk menggalakkan inovasi industri serta komitmen terhadap piawaian pematuhan antarabangsa.

Prestasinya pada 2025 turut seiring dengan pencapaian positif Malaysia dalam Penilaian Bersama Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), yang mengiktiraf sumbangan Labuan IBFC terhadap penilaian keseluruhan negara.

"Berikutan perniagaan semakin berdepan dengan keperluan rentas sempadan yang kompleks serta keperluan kewangan yang terus berubah, Labuan IBFC terus memperteguh dan membangunkan penyelesaian merentasi sektor utamanya," menurutnya.

Keupayaan ini melengkapi ekosistem perkhidmatan kewangan Malaysia yang lebih luas selain membolehkan perniagaan dan pelabur meneroka peluang di peringkat serantau dan global.

Labuan IBFC memaklumkan kedudukan terkini itu merupakan pencapaian penting yang positif berikutan ia terus memanfaatkan kekuatan sedia ada dan memenuhi keperluan pasaran antarabangsa yang sentiasa berubah.

Menurutnya kerjasama berterusan dengan pemain industri dan pihak berkepentingan lain akan kekal penting bagi mengekalkan daya saing Labuan IBFC serta menyokong pembangunan jangka panjangnya.

-- BERNAMA