BERITA TERKINI   Lelaki Islam dipercayai lakukan ritual bertentangan hukum syarak ditahan bersama ibunya di Kuala Lumpur, tengah hari tadi. - JAIS | Jerebu: Sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Sepang, Kuantan, Pekan, Rompin, Tawau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu ditutup esok, 14 Okt - Fadhlina | Jerebu: Sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup esok - Fadhlina | Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus dan STAM di Melaka diteruskan esok ikut jadual - JPN Melaka | Sekolah di Melaka kekal ditutup esok susulan jerebu - JPN Melaka | 

Industri Sawit Malaysia Perlu Seimbangkan Aspek Mampan, Untung – MPOA

BANGKOK, 13 Okt (Bernama) -- Sektor industri minyak sawit Malaysia perlu bertindak menseimbangkan aspek kemampanan dengan keuntungan serta pertumbuhan jangka panjang selain memastikan kos pematuhan yang kian meningkat tidak membebankan pekebun kecil.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) Roslin Azmy Hassan berkata kemampanan dan keuntungan itu saling berkaitan manakala amalan lestari perlu memberi manfaat ekonomi yang munasabah kepada pengeluar.

“Sektor paling mampan adalah kita ada (sekarang) dan perlu menjadikannya lebih produktif,” katanya pada seminar bertajuk ‘Plantation 360: Mobilising Private Capital for More and Better Jobs’ di sini, hari ini.

Ad Banner

Seminar anjuran bersama Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dan Pejabat Pengarah Eksekutif bagi Kumpulan Pengundian Asia Tenggara (EDSI 6) Kumpulan Bank Dunia, diadakan bersempena Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia 2026.

Menjelaskan selanjutnya, Roslin berkata keperluan pensijilan, kebolehkesanan, pelepasan gas rumah hijau, perlindungan biodiversiti serta usaha wajar rantaian bekalan yang semakin ketat adalah penting untuk memastikan akses pasaran terus dipertahankan selain mengekalkan keyakinan pelabur dan pengguna.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kos pematuhan yang meningkat juga boleh membebankan pengeluar tanpa memberi impak seperti meningkatkan aspek produktiviti atau menjana nilai ekonomi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, Roslin turut menggariskan lima keutamaan dalam usaha mengimbangi aspek kemampanan dengan prestasi ekonomi yang bermula dengan peningkatan produktiviti menerusi penanaman semula pokok sawit yang berusia, penggunaan bahan tanaman lebih baik, penambahbaikan amalan agronomi, mekanisasi serta penggunaan automasi dan teknologi digital berbanding usaha memperluas kawasan penanaman.

Beliau berkata sebanyak 450,000 pekebun kecil di Malaysia yang mengusahakan hampir satu pertiga daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit negara, memerlukan sokongan lebih besar untuk memenuhi keperluan kemampanan memandangkan akses terhadap pembiayaan, teknologi dan tenaga kerja adalah terbatas.

"(Sehubungan itu), pihak seperti kerajaan, institusi kewangan, bank-bank pembangunan dan sektor swasta perlu menyediakan kemudahan pembiayaan inovatif, termasuk pinjaman konsesi dan jaminan pembiayaan untuk menyokong usaha penanaman semula, penerapan teknologi serta penambahbaikan aspek kemampanan,” katanya.

Roslin juga menggesa agar aspek kemampanan dilihat sebagai satu pelaburan manakala pembiayaan bagi tenaga boleh baharu, pemerangkapan metana, penggunaan biojisim, pendigitalan dan penyesuaian iklim dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon selain meningkatkan kecekapan dan keuntungan.

Menurutnya, pihak industri juga perlu bertindak untuk menjana nilai lebih besar daripada setiap tan minyak sawit menerusi penghasilan produk hiliran termasuk oleokimia, tenaga boleh baharu, biogas dan baja bio selain menukarkan sisa pertanian kepada sumber pendapatan tambahan.

Di samping itu, kerjasama lebih erat di sepanjang rantaian bekalan juga perlu bagi memastikan piawaian kemampanan menghasilkan manfaat alam sekitar dan sosial selain mengambil kira realiti yang dihadapi oleh negara pengeluar.

“Kita tidak seharusnya dalam keadaan perlu memilih antara kemampanan, keuntungan dan pertumbuhan. Kita perlukan ketiga-tiga aspek itu,” katanya.

Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia selepas Indonesia dengan menyumbang kira-kira 24 peratus hingga 26 peratus daripada pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) global dan kira-kira 5.6 juta hingga 5.8 juta hektar kawasan adalah khusus bagi penanaman untuk mendapatkan minyak sawit.

-- BERNAMA