Ringgit Ditutup Rendah Menjelang Pengumuman Data Inflasi AS
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Selasa dengan susut sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pelabur kekal berhati-hati menjelang pengumuman data inflasi negara maju itu yang dijadualkan esok, kata penganalisis.
Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.0835/0880 berbanding dolar AS daripada 4.0820/0865 yang dicatatkan semalam.
Ketua Ahli Ekonomi TA Securities Shazma Juliana Abu Bakar berkata data inflasi AS itu boleh mempengaruhi jangkaan terhadap hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) serta pergerakan ringgit dalam masa terdekat.
Beliau berkata ringgit bagaimanapun dijangka kekal berdaya tahan dalam tempoh berbaki urus niaga minggu ini, disokong oleh sentimen positif pelabur susulan pembentangan Belanjawan 2027 serta komitmen berterusan kerajaan terhadap usaha konsolidasi fiskal.
“Namun, ketegangan geopolitik di Asia Barat dan lonjakan harga minyak mentah Brent, berkemungkinan meningkatkan lagi ketidaktentuan luaran dan mengekalkan permintaan terhadap dolar AS sebagai mata wang yang selamat,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, ringgit ditutup rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain pada akhir urus niaga hari ini.
Ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5833/5864 daripada 2.5739/5769, susut sedikit berbanding pound Britain kepada 5.4057/4177 daripada 5.4017/4077 dan turun berbanding euro kepada 4.5654/5704 daripada 4.5637/5687.
Selain itu berbanding mata wang serantau ASEAN, ringgit rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 228.1/228.4 daripada 227.9/228.2 namun tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.50/6.51.
Unit tempatan itu rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1902/1940 daripada 3.1873/1911 semalam dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.1663/1844 daripada 12.1391/1568.
-- BERNAMA