BERITA TERKINI   ACLE: Pohang 0-2 JDT | Lelaki Islam dipercayai lakukan ritual bertentangan hukum syarak ditahan bersama ibunya di Kuala Lumpur, tengah hari tadi. - JAIS | Jerebu: Sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Sepang, Kuantan, Pekan, Rompin, Tawau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu ditutup esok, 14 Okt - Fadhlina | Jerebu: Sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup esok - Fadhlina | 

Dewan Perniagaan Labuan Gesa Pelepasan Cukai Bersasar, Dasar Lebih Jelas Susulan Belanjawan 2027

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 13 Okt (Bernama) -- Dewan Perniagaan Labuan (LCC) menggesa pemberian pelepasan cukai bersasar dan dasar yang lebih jelas bagi mengatasi cabaran menjalankan perniagaan di pulau itu, berikutan pengumuman Belanjawan 2027, khususnya kepada pengeluar tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas. 

Presidennya, Daniel Doughty berkata LCC menyambut baik cadangan elaun beli-belah bebas cukai sebanyak RM10,000 untuk Labuan dan Langkawi, namun menegaskan bahawa inisiatif itu perlu disusuli dengan pendekatan yang disesuaikan dengan keadaan ekonomi setiap pulau terlibat. 

Ad Banner

“Labuan dan Langkawi mempunyai pasaran pengunjung, kesalinghubungan pengangkutan dan keadaan perniagaan yang berbeza, jadi elaun beli-belah yang seragam sepatutnya disokong dengan langkah bersesuaian yang mencerminkan keperluan ekonomi setiap pulau,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Doughty berkata pelepasan duti yang diperluaskan bagi produk Langkawi yang layak mengikut Lampiran 31 merupakan satu perkembangan positif dan menggesa kerajaan agar mempertimbangkan insentif yang sama bagi barangan keluaran Labuan. 

Beliau berkata usahawan Labuan sangat bergantung terhadap akses pasaran di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia susulan pasaran tempatan di pulau itu yang terhad. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pasaran domestik kami kecil, jadi akses ke Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia adalah penting bagi perniagaan untuk berkembang, mengekalkan pekerjaan dan melabur dalam pengeluaran tempatan,” katanya.

Sementara itu, di bawah Lampiran 32, cadangan elaun bebas cukai sebanyak RM10,000 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2027, ia terpakai bagi barangan baharu yang layak dibawa keluar dari Labuan dan Langkawi, tertakluk kepada syarat tempoh penginapan minimum selama 48 jam.

Bagaimanapun, elaun itu tidak merangkumi minuman beralkohol, tayar, rokok, produk tembakau dan rokok elektrik, termasuk cecair vape. 

Oleh itu, Doughty meminta kerajaan mempertimbangkan semula pengecualian tersebut, terutamanya yang melibatkan bir, wain dan minuman keras, serta syarat tempoh penginapan minimum agar lebih bersesuaian dengan pasaran pengunjung Labuan, selain menggalakkan perbelanjaan. 

Beliau turut menyatakan bahawa Belanjawan 2027 secara khususnya tidak mengatasi isu tunggakan cukai perkhidmatan dan duti produk tempatan yang pernah dibangkitkan oleh PKS Labuan. 

“Ketiadaan pengumuman tidak bermakna cadangan itu telah ditolak.

“Bagaimanapun, perniagaan memerlukan penjelasan mengenai cadangan yang telah diterima, cadangan yang masih dalam pertimbangan serta bila keputusan mengenai perkara itu akan diberikan,” katanya. 

Doughty juga menggesa Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk memberi penjelasan mengenai layanan cukai perkhidmatan terhadap kerja yang dilaksanakan sepenuhnya di Labuan, termasuk perkhidmatan subkontrak kepada pelanggan yang berdaftar di tempat lain. 

Beliau berkata LCC turut memohon pelepasan cukai bagi barangan keluaran tempatan yang layak, disusuli dengan langkah perlindungan untuk menghalang produk import daripada dibungkus semula semata-mata bertujuan melayakkannya memperoleh pengecualian.

“Labuan memerlukan rangka kerja percukaian yang memberi ganjaran kepada pengeluaran tempatan yang tulen, memberikan kepastian kepada perniagaan dan membolehkan perusahaan di pulau ini bersaing dalam pasaran domestik Malaysia,” katanya. 

Oleh itu, Doughty menggesa pihak berkuasa berkaitan untuk memberikan maklum balas bertulis dan jadual pelaksanaan yang telus bagi cadangan cukai PKS yang masih tertangguh, sambil menjelaskan bahawa LCC sedia bekerjasama bagi merangka pendekatan praktikal bagi mengukuhkan ekonomi Labuan. 

-- BERNAMA