Sektor Swasta Perlu Berperanan Aktif Jika Malaysia Kembali Anjur F1 - Tengku Zafrul
Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Sektor swasta perlu memainkan peranan aktif bagi memastikan Malaysia mendapat limpahan ekonomi yang positif daripada penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) jika Malaysia membuat keputusan untuk mengembalikan acara sukan permotoran berprestij itu, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata potensi manfaat ekonomi daripada penganjuran F1 perlu dinilai dengan teliti berikutan kos yang tinggi, dan kebimbangan sama ada acara itu memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan atau hanya kepada segmen tertentu.
“Sektor swasta perlu terlibat dalam menilai pulangan pelaburan (ROI) daripada penganjuran acara itu dan memastikan ia menjana manfaat ekonomi yang lebih luas kepada negara.
“Kita perlu menilainya dengan tepat berikutan kos yang tinggi. Pada masa sama, jika melihat kepada kejayaan beberapa negara lain, sektor swasta turut terlibat,” kata Tengku Zafrul kepada Bernama.
Beliau yang juga penasihat politik kanan kepada Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan berkata sektor hospitaliti dan pelancongan serta perniagaan yang terlibat dalam pengurusan acara serta perkhidmatan berkaitan merupakan antara pihak yang berpotensi untuk mendapat manfaat.
Menurutnya aktiviti sampingan yang dianjurkan sempena perlumbaan F1 termasuk persidangan utama dan acara-acara lain, berupaya menarik lebih ramai pengunjung serta mewujudkan peluang ekonomi yang lebih luas kepada perniagaan tempatan.
Beliau memberikan contoh mengenai acara berkaitan F1 yang diadakan baru-baru ini di Malaysia dan menarik kehadiran 261,000 pengunjung sebagai gambaran bagaimana acara sedemikian berupaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat.
Malaysia kali terakhir menganjurkan perlumbaan F1 pada 2017, sebelum Litar Antarabangsa Sepang dimasukkan kembali dalam kalendar perlumbaan untuk sementara waktu bagi menganjurkan Grand Prix Bahrain Gulf Air 2026 yang dipindahkan ke Malaysia pada 2 hingga 4 Oktober lepas susulan gangguan yang berpunca daripada krisis di Asia Barat.
-- BERNAMA