Belanjawan 2027: Perbelanjaan Pembangunan RM83 Bilion Pacu Pertumbuhan, Infrastruktur
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM83 bilion di bawah Belanjawan 2027 memberi peluang untuk Malaysia memperkukuh asas ekonomi negara, memperluas peluang perniagaan dan menyokong pertumbuhan mampan, menurut Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Arshad Mohamed Ismail berkata tumpuan tidak seharusnya kepada jumlah peruntukan itu semata-mata, tetapi juga kepada kualiti dan keberkesanan dalam berbelanja serta keupayaannya untuk menjana pulangan ekonomi secara jangka panjang.
“Pelaburan yang berterusan dapat membantu memperkukuh kapasiti produktif Malaysia, selain mewujudkan peluang untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta,” katanya dalam satu kenyataan.
Arshad menambah belanjawan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaan pembangunan yang berterusan, sekali gus menyediakan asas bagi memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia dan potensi pertumbuhan jangka panjang negara.
Sementara itu, Public Investment Bank Bhd (PIVB) memaklumkan cadangan peruntukan perbelanjaan pembangunan kerajaan sebanyak RM83 bilion bagi 2027 adalah sedikit lebih tinggi berbanding RM81 bilion yang diperuntukkan pada tahun ini, iaitu meningkat 2.5 peratus tahun ke tahun.
Termasuk peruntukan berasingan berjumlah RM25 bilion daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, RM11 bilion dalam pelaburan awam-swasta dan RM14.2 bilion daripada badan berkanun Persekutuan dan syarikat milik kerajaan, jumlah pelaburan awam secara keseluruhan mencecah RM133.2 bilion.
Angka itu menunjukkan peningkatan kecil sebanyak satu peratus berbanding RM131.8 bilion pada tahun sebelumnya.
“Ini selaras dengan komitmen kerajaan MADANI terhadap tadbir urus yang baik dan pengurangan defisit fiskal secara berperingkat,” katanya sambil menambah Belanjawan MADANI Kelima terus mengutamakan projek berkepentingan awam dan infrastruktur yang menyokong isi rumah, pekerja dan perniagaan, selaras dengan keutamaan pembangunan negeri.
“Kami percaya subsektor pengangkutan akan terus menjadi pemangkin penting memandangkan banyak projek yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi, seperti penyelenggaraan dan naik taraf jalan raya, pelaburan dalam sektor rel, infrastruktur bas, kerja-kerja akses ke lapangan terbang serta sistem e-ART Johor Bahru, yang tergolong dalam kategori ini,” menurutnya.
Bank pelaburan itu memaklumkan infrastruktur air merupakan satu lagi pemangkin penting di bawah Belanjawan 2027.
Menurutnya, antara inisiatif penting termasuk peruntukan RM2.5 bilion untuk mengurangkan kehilangan air di seluruh negara, termasuk menggantikan paip kritikal yang telah usang sepanjang 1,900 kilometer.
“Belanjawan itu turut menyenaraikan Loji Rawatan Air Machang, cadangan pembinaan Empangan Lebir dan kerja-kerja pembekalan air di Kelantan,” jelasnya.
PIVB menambah Belanjawan 2027 turut menyebut perancangan untuk mewujudkan Awan Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat yang bertujuan memastikan data Malaysia dan maklumat strategik negara kekal di bawah kawalan Malaysia.
-- BERNAMA