Zetrix AI Diberi Masa Hingga 22 Okt Untuk Perbetul Potensi Pelanggaran Syarat Sukuk Wakalah
KUALA LUMPUR, 16 Oct 16 (Bernama) -- Zetrix AI Bhd telah diberi tempoh sehingga 22 Oktober 2026 untuk membetulkan pelanggaran perjanjian di bawah Sukuk Wakalahnya dan kegagalan berbuat demikian akan membawa kepada kemungkiran pembayaran.
Menerusi jawapannya terhadap surat pertanyaan daripada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan jumlah kupon belum dijelaskan yang akan matang pada tarikh-tarikh akan datang berjumlah RM164.5 juta, manakala jumlah prinsipal belum dijelaskan yang akan matang pada tarikh-tarikh akan datang berjumlah RM2.0 bilion.
Zetrix AI dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memaklumkan sekiranya pelanggaran tersebut masih belum dapat diselesaikan menjelang 22 Oktober 2026, ia akan mendapatkan persetujuan serta arahan atau panduan daripada pemegang Sukuk melalui Resolusi Luar Biasa pemegang Sukuk, termasuk mendapatkan pengecualian daripada pematuhan kovenan tersebut.
Sekiranya pemegang Sukuk tidak meluluskan pengecualian tersebut ia boleh membawa kepada pembubaran.
Jika pembubaran berlaku dan berterusan, Pemegang Amanah Sukuk boleh mengisytiharkan bahawa peristiwa sedemikian berlaku dan mempercepatkan pembayaran semua jumlah yang terakru dan belum dibayar di bawah Sukuk Wakalah sehingga tarikh pengisytiharan tersebut.
Pemegang amanah juga berhak untuk menguatkuasakan haknya di bawah dokumen transaksi, dengan semua jumlah tertunggak di bawah Sukuk Wakalah perlu dibayar serta-merta.
-- BERNAMA