BERITA TERKINI   PM Anwar ucap tahniah kepada Siti Nurhaliza atas persembahan yang cukup istimewa, penuh jiwa pada Konsert Tradisional Gema Bumantara | 

Buah Yuzu Dari Jepun Tembusi Pasaran Halal Malaysia

Oleh Christine Lim

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Buah Yuzu dari Jepun, dikenali kerana aroma unik dan rasa sitrusnya yang tersendiri, kini berpotensi untuk menembusi pasaran halal Malaysia, dengan pengeluar dari Wilayah Kochi menyasarkan peluang eksport baharu.

Pengarah Pejabat Perwakilan Kochi di Singapura, Akihisa Ikeda berkata Wilayah Kochi telah menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2026) di bawah Pavilion Jepun, dengan mempamerkan produk-produk yang telah mendapat pensijilan halal.

Ad Banner

“Walaupun sesetengah produk yuzu dari Wilayah Kochi sudah dieksport ke Malaysia, masih terdapat banyak peluang belum diteroka dalam sektor lain.

“Ini merupakan penyertaan pertama kami dalam MIHAS, memandangkan kami mahu memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap makanan halal,” katanya ketika ditemui Bernama di luar acara MIHAS 2026 baru-baru ini.

Dua syarikat dari Wilayah Kochi menyertai acara tersebut, iaitu Kochi Ice Co Ltd yang menghasilkan pencuci mulut menggunakan yuzu dan buah-buahan sitrus lain, serta Umaji Village Agricultural Cooperative, mewakili para petani yuzu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ikeda berkata produk berasaskan yuzu yang sudah popular di negara anggota ASEAN, masih mempunyai ruang untuk berkembang.

“Singapura merupakan negara pertama di Asia mengimport produk yuzu dari Jepun, manakala di Thailand, terdapat banyak kafe yang menghidangkan minuman berperisa yuzu,” katanya.

Beliau berkata di Malaysia, pencuci mulut sejuk beku diperbuat daripada jus yuzu dari Wilayah Kochi dan mempunyai pensijilan halal sudah pun dijual di restoran-restoran Jepun, katanya.

“Minuman dan jem yuzu daripada Umaji Village Agricultural Cooperative juga boleh didapati di kedai-kedai runcit di Malaysia dan kesemua produk ini telah mendapat pensijilan halal.

“Walaupun kebanyakan produk yuzu dari Jepun ini masih agak baru di Malaysia, di Eropah terutamanya di Perancis, ia dianggap sebagai satu sensasi kulinari dalam kalangan cef, menggunakan perasa dan bahan tambahan berasaskan yuzu untuk menambah baik rasa hidangan,” kata Ikeda.

Wilayah Kochi, merupakan pengeluar utama yuzu di Jepun telah memperluaskan pasaran eksportnya ke Eropah dan Amerika Syarikat dan kini menyasarkan bahagian pasaran yang lebih besar di negara-negara di Asia, termasuk Malaysia dan Singapura.

Menurut Ikeda, pihak pengeluar menyasarkan pengguna yang mampu memahami serta menghargai kualiti dan ciri-ciri unik produk yuzu dari Kochi.

“Buah-buahan ini ditanam di kawasan pergunungan di kampung-kampung Kochi dalam persekitaran ideal, menghasilkan buah yuzu dengan aroma yang kuat. Buah ini kemudian diproses menjadi minuman dan perencah berasaskan yuzu untuk tujuan eksport.

“Oleh itu, tiada pelarasan harga akan dibuat buat masa ini walaupun kos pembungkusan dan bahan mentah lain semakin meningkat, memandangkan tumpuan utama adalah untuk mengekalkan kualiti produk berasaskan yuzu dari Kochi,” katanya.

Ikeda berkata pihak pengeluar kini menumpukan usaha untuk memperluas saluran pengedaran di Malaysia, didorong oleh reaksi pasaran yang positif terhadap produk Jepun berasaskan yuzu.

-- BERNAMA