Bursa Malaysia Rendah Dalam Dagangan Awal, Jejaki Penyusutan Di Wall Street

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia menyusut pada awal dagangan Isnin, menjejaki penurunan di Wall Street pada Jumaat lepas di tengah-tengah aktiviti penjualan saham berkaitan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) secara besar-besaran.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 8.42 mata atau 0.52 peratus kepada 1,599.34 berbanding 1,607.76 semasa ditutup pada Jumaat.

Indeks itu dibuka rendah 3.58 mata kepada 1,604.18.

Ad Banner

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 423 berbanding 103 manakala 270 kaunter tidak berubah, 2,048 tidak diniagakan dan 34 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 247.52 juta unit bernilai RM165.34 juta.

Apex Securities Bhd menjangkakan FBM KLCI kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat ini berikutan jualan berterusan oleh pelabur asing dan ketidaktentuan global yang semakin meningkat, terus menjejaskan sentimen pelabur.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut firma pembrokeran itu, aktiviti jualan besar-besaran baru-baru ini dalam saham teknologi dan saham berkaitan AI di Amerika Syarikat (AS) selain harga minyak yang tinggi serta tekanan inflasi, boleh mengurangkan lagi minat pelabur terhadap risiko menjelang keputusan dasar Rizab Persekutuan AS pada 29 Oktober.

Di peringkat domestik, menurutnya pelabur akan terus menilai prospek ekonomi Malaysia susulan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2026 selain memantau potensi kesan peningkatan kos operasi terhadap pendapatan korporat terutama dalam kalangan perniagaan yang berintensifkan buruh.

“Kami yakin pemulihan pasaran yang berterusan bergantung kepada peningkatan aliran masuk dana asing dan kestabilan yang lebih baik dalam pasaran global,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM9.95, Public Bank menurun 12 sen kepada RM4.71, CIMB tidak berubah pada RM7.20, Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM12.69 dan IHH Healthcare susut dua sen kepada RM7.89.

Dalam dagangan aktif, JAKS Resources merosot satu sen kepada 13.5 sen, Top Glove susut setengah sen kepada 89.5 sen, Ni Hsin tidak berubah pada 4.2 sen, Rekatech Capital turun satu sen kepada 3.5 sen dan Cape EMS menurun 2.5 sen kepada 28.5 sen.

Kaunter paling untung ialah Petronas Dagangan yang meningkat 24 sen kepada RM19.88, Press Metal Aluminium dan Kuala Lumpur Kepong masing-masing menokok 10 sen kepada RM6.60 dan RM20.10 manakala Hibiscus Petroleum dan Petronas Chemicals pula masing-masing naik lapan sen kepada RM2.37 dan RM4.40.

Kaunter paling rugi termasuk Hong Leong Financial Group yang susut 28 sen kepada RM17.56,  United Plantations merosot 24 sen kepada RM30.36, Malaysian Pacific Industries turun 22 sen kepada RM40.20, MISC Bhd menyusut 20 sen kepada RM8.56 dan Hong Leong Bank menurun 16 sen kepada RM21.14.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 65.07 mata kepada 11,927.19 manakala Indeks FBM Top 100 menurun 64.42 mata kepada 11,722.35.

Indeks FBM Mid 70 turun 105.45 mata kepada 17,120.48, Indeks FBM Emas Syariah susut 35.84 mata kepada 11,884.03 manakala Indeks FBM ACE menurun 44.89 mata kepada 5,386.16.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 163.13 mata kepada 18,588.69, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.63 mata kepada 173.42, Indeks Perladangan merosot 7.13 mata kepada 8,625.75 manakala Indeks Tenaga meningkat 3.62 mata kepada 824.62.

-- BERNAMA