BERITA TERKINI   Konsortium Kerjaya Prospek Group Bhd memperoleh kontrak TNB bernilai RM568.19 juta untuk membina pencawang GIS Paka di Terengganu | Malaysia gesa kerangka kawal selia AI dalam industri kreatif, pengkarya manusia jadi keutamaan - Fahmi | Malaysia gesa harta intelek diiktiraf sebagai aset boleh diterima bank untuk pertingkat ekonomi kreatif global - Fahmi | Malaysia cadang perkukuh kerjasama antarabangsa dalam penerbitan bersama, pertukaran bakat kreatif, perkongsian data - Fahmi | Malaysia akan perkenal langkah transformasi tangani jerebu rentas sempadan tahun depan - Arthur | 

MRDC Pacu Syarikat Tempatan Beralih Kepada Aktiviti Bernilai Tinggi Dalam Industri Rel

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Malaysia Rail Development Corporation (MRDC) sedang mempergiat usaha membangunkan keupayaan syarikat tempatan dalam industri rel bagi membolehkan mereka beralih daripada pembekal dan subkontraktor kepada pengeluar komponen serta penyedia perkhidmatan bernilai tinggi.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MRDC Nurul Adilah Abd Wahid berkata usaha itu dilaksanakan menerusi program pembangunan yang memberi tumpuan kepada pembangunan vendor, peningkatan keupayaan teknikal serta pelaksanaan lokalisasi bagi mengukuhkan ekosistem industri rel negara.

Ad Banner

“Antara inisiatif utama yang sedang dibangunkan ialah pengilang peralatan setara, yang membangunkan keupayaan pengilang tempatan untuk menghasilkan peralatan dan komponen setara yang memenuhi keperluan industri rel.

“Pada masa yang sama, kita juga mempunyai inisiatif untuk membaik pulih kenderaan rel, meneroka peluang baik pulih, naik taraf serta pembangunan komponen untuk sistem tren seperti komponen tren, sistem brek, sistem pintu, landasan, sistem isyarat rel dan juga elektrifikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Bernama Mobile Studio bersempena dengan Transport Expo Asia 2026 (TXA 2026).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

 

Vendor Tempatan Diperkasakan, Tembusi Pasaran ASEAN

Nurul Adilah berkata inisiatif itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam rantaian bekalan industri selain mengurangkan kebergantungan kepada pengeluar peralatan asal dari luar negara secara berperingkat.

Menurutnya usaha meningkatkan penyertaan syarikat tempatan perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira tahap kesiapsiagaan industri untuk menerima dan menguasai teknologi baharu.

“Selain itu, ia dapat membuka peluang kepada syarikat Malaysia untuk menyertai rangkaian bekalan global dan pasaran ASEAN,” katanya.

Beliau berkata MRDC juga memberi tumpuan kepada pembangunan sumber manusia dan kompetensi sebagai asas kepada pembentukan industri rel yang mampan memandangkan penggunaan teknologi canggih perlu disokong tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Kami boleh membeli tren dan teknologi yang paling canggih di dunia, tetapi tanpa tenaga kerja yang mampu mengendalikan dan menambah baik teknologi tersebut, kita masih belum mencapai keupayaan industri yang sebenar,” katanya.

Menurut Nurul Adilah pembangunan projek rel berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura serta projek rel bandar meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Berdasarkan unjuran MRDC, industri rel negara memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 tenaga kerja sehingga 2030 bagi memenuhi keperluan pembangunan, pengendalian dan penyelenggaraan sistem rel.

 

Pembangunan Bakat, Piawaian Industri Pacu Ekosistem Rel Negara

Nurul Adilah berkata sebagai badan peneraju industri yang dilantik oleh Kementerian Sumber Manusia, MRDC berperanan untuk menyelaras keperluan kompetensi industri dalam pembangunan program latihan dan pensijilan.

Bagi tujuan itu, MRDC sedang membangunkan Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan untuk menyatukan kepakaran institusi akademik, universiti, pemain industri dan pihak berkepentingan dalam pembangunan bakat serta teknologi rel.

Pusat itu akan menggunakan pendekatan yang merangkumi pusat kecemerlangan utama, pusat satelit dan kilang latihan bagi menyelaraskan latihan serta meningkatkan kesesuaian kemahiran tenaga kerja dengan keperluan sebenar industri.

Dalam aspek piawaian industri, MRDC telah membangunkan 16 Piawaian Industri Rel Malaysia, meliputi 10 komponen kerja landasan dan enam komponen tren bagi mengurangkan kebergantungan kepada piawaian luar negara serta menyokong pelaksanaan projek rel pada masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau berkata kejayaan pembangunan industri rel negara tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan panjang landasan yang dibina, sebaliknya turut mengambil kira keupayaan industri tempatan menguasai teknologi, membangunkan kepakaran dan mewujudkan peluang ekonomi kepada rakyat Malaysia.

TXA 2026 menghimpunkan 410 pempamer dan inovator teknologi dalam pameran yang menampilkan pelbagai penyelesaian pengangkutan selain memperkenalkan anugerah sulung bagi mengiktiraf kepimpinan dan pencapaian dalam industri berkenaan.

Bertemakan “Future on the Move: Accelerating Next-Gen Transport,” ekspo itu menyediakan ruang pameran seluas 15,000 meter persegi sebagai wadah yang menemukan pemain industri, wakil kerajaan dan rakan antarabangsa.

-- BERNAMA