BERITA TERKINI   Malaysia, Thailand bersetuju bentuk jawatankuasa untuk lapor, semak kemajuan Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan - Mohamad Hasan  | Malaysia akan bangkitkan isu jerebu rentas sempadan pada AMM menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 bulan depan - Mohamad Hasan | ACLE: JDT 3-0 Port FC | PM Anwar tekad bertindak tegas terhadap dalang dan sindiket penyeludupan warga asing | Kes Laskar Kanan Maritim meninggal dunia: PM Anwar kecewa dengan tindakan pihak yang menggugat keselamatan serta kedaulatan negara | 

Nuklear Berpotensi Sebagai Pilihan Tenaga Menjaminkan Susulan Krisis Global - IEA

Daripada Rosemarie Khoo Mohd Sani

SINGAPURA, 26 Okt (Bernama) -- Tenaga nuklear boleh menjadi pilihan kepada negara-negara bagi memperkukuh keterjaminan tenaga jangka panjang berikutan gangguan bekalan global, kata Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Dr Fatih Birol.

Beliau berkata sebagai sumber selamat, dijana secara tempatan dan sumber elektrik bebas asas yang boleh diharapkan, minat terhadap tenaga nuklear juga telah meningkat di tengah-tengah krisis tenaga semasa apabila negara-negara bertindak meneliti semula strategi tenaga masing-masing.

Ad Banner
Ad Banner

Pada masa sama, negara terbabit juga berhasrat mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan tenaga dari luar.

“Minat terhadap tenaga nuklear kini semakin meningkat berikutan krisis semasa dan juga disebabkan nuklear merupakan sumber tenaga yang selamat.

“Sehubungan itu, kebergantungan terhadap negara lain menjadi kurang selain (peranan) tenaga nuklear yang juga sumber elektrik bebas asas memang amat diperlukan,” katanya kepada pemberita di luar acara Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura 2026 (SIEW 2026) di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menjelaskan selanjutnya, Birol berkata sebahagian daripada krisis tenaga juga disebabkan oleh gangguan bekalan yang melintasi Selat Hormuz -- laluan utama bagi penghantaran minyak dan gas antarabangsa.

Berikutan itu, beliau tidak menjangkakan pasaran tenaga berkemungkinan besar sukar untuk kembali kepada keadaan sebelum peperangan bagi tempoh beberapa lama.

Ini termasuk lonjakan harga minyak dan gangguan bekalan bahan api yang terus memberi kesan terhadap pasaran tenaga global dengan harga minyak mencecah hampir US$120 setong manakala harga diesel meningkat dua kali daripada paras sebelum konflik.

“Apa yang saya bimbangkan, diesel itu sendiri amat penting bagi ekonomi global dan sektor pertanian ketika banyak negara sedang memasuki musim menanam ketika ini,” katanya.

Birol berkata harga diesel yang tinggi serta bekalan baja yang terjejas juga boleh menjejaskan harga makanan dalam bulan-bulan akan datang.

Pada masa sama, katanya, impak krisis yang berlaku tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan harga minyak mentah ketika ketersediaan dan kos produk petroleum bertapis juga tidak kurang pentingnya.

“Kita tidak seharusnya menumpukan aspek harga minyak mentah. Kita turut menggunakan loji penapisan dan pada hari ini menyaksikan perubahan besar dalam produk-produk bertapis yang bermula dengan diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan bahan api jet,” katanya.

Selain itu, mengulas kemajuan tenaga nuklear, Birol mengingatkan mana-mana negara yang berhasrat membangunkan tenaga itu, perlu berhati-hati dalam memilih rakan pelaksana projek yang membabitkan implikasi jangka panjang.

“Negara rakan pelaksana inilah yang perlu bersama anda selama 100 tahun (sekali pun) kerana apabila kerjasama dijalinkan, sukar untuk mengakhirinya.

“Kedua, negara terbabit perlu mendapatkan teknologi terbaik bagi membangunkan industri nuklear dan ketiga, kos terbabit juga perlu kompetitif,” katanya.

Birol berkata negara-negara terbabit juga perlu meneliti semula strategi, kerjasama tenaga, bahan api serta pilihan teknologi berikutan ketidaktentuan pasaran tenaga global yang masih berlanjutan.

-- BERNAMA