BERITA TERKINI   Malaysia, Thailand bersetuju bentuk jawatankuasa untuk lapor, semak kemajuan Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan - Mohamad Hasan  | Malaysia akan bangkitkan isu jerebu rentas sempadan pada AMM menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 bulan depan - Mohamad Hasan | ACLE: JDT 3-0 Port FC | PM Anwar tekad bertindak tegas terhadap dalang dan sindiket penyeludupan warga asing | Kes Laskar Kanan Maritim meninggal dunia: PM Anwar kecewa dengan tindakan pihak yang menggugat keselamatan serta kedaulatan negara | 

Hong Leong Bank, UnionPay Perkukuh Kesalinghubungan Pembayaran Rentas Sempadan Di China

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pelanggan Hong Leong Bank Bhd (HLB) kini boleh membuat pembayaran menggunakan kod QR di lebih 120 juta titik penerimaan pembayaran UnionPay dan Weixin Pay di seluruh China menerusi aplikasi HLB Connect, susulan kerjasama strategik dengan UnionPay International (UPI).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB Kevin Lam berkata kerjasama itu akan memberikan kemudahan dan keyakinan lebih tinggi kepada rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara ketika membuat pembayaran, selain menjadi asas kepada peluasan kesalinghubungan pembayaran di pasaran lain.

“Pada asasnya, pembayaran rentas sempadan hanya dapat dilaksanakan dengan lancar apabila wujud kepercayaan daripada kedua-dua pihak yang terlibat dalam transaksi. Pelanggan perlu yakin bahawa pembayaran mereka akan berjaya, manakala peniaga pula perlu mempunyai keyakinan bahawa mereka akan menerima bayaran selepas transaksi dilakukan,” katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan Ultimate Payment Passport with HLB di sini hari ini. tersebut.

Ad Banner
Ad Banner

Lam berkata kerjasama itu memanfaatkan rangkaian antarabangsa UPI, termasuk Weixin Pay, bagi memberikan pelanggan akses kepada rangkaian peniaga yang lebih luas secara langsung menerusi aplikasi perbankan yang biasa mereka gunakan di Malaysia.

Beliau berkata HLB telah menjalankan ujian di beberapa lokasi di China sepanjang bulan lepas bagi memastikan kemudahan pembayaran itu berfungsi dengan baik sebelum pelancaran rasminya.

Perkhidmatan itu turut tersedia di premis perniagaan yang mengambil bahagian di Hong Kong, Macau dan Thailand, manakala bank berkenaan merancang memperluas kemudahan pembayaran itu ke lebih banyak destinasi popular dalam kalangan pelancong Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi HLB Andrew Jong berkata perkhidmatan itu membolehkan pelanggan membuat pembayaran terus daripada akaun perbankan mereka tanpa perlu menambah nilai dompet elektronik pihak ketiga.

Beliau berkata perkhidmatan itu tidak mengenakan fi transaksi, selain membolehkan pelanggan menggunakan baki ringgit Malaysia dalam akaun Pay&Save.

“Gabungan pelbagai jenis peniaga dan segmen, serta sokongan terhadap dua kaedah pembayaran kod QR, iaitu kod yang dipaparkan oleh pengguna atau peniaga, membolehkan pelanggan mengakses hampir 99.99 peratus peniaga di seluruh China,” katanya.

Jong berkata sokongan terhadap kedua-dua kaedah pembayaran kod QR itu penting kerana sesetengah peniaga menghendaki pelanggan mengimbas kod QR mereka, manakala peniaga lain menggunakan pengimbas untuk membaca kod QR yang dipaparkan oleh pelanggan menerusi aplikasi mudah alih masing-masing.

Beliau berkata pelanggan HLB juga boleh memautkan kad debit dan kredit yang layak kepada aplikasi serba lengkap di China, termasuk Weixin Pay, untuk membuat pembayaran bagi perkhidmatan seperti pengangkutan awam, penghantaran makanan serta premis makanan dan minuman.

Menurut beliau, kerjasama itu mencerminkan usaha HLB memperluas keupayaan pembayaran rentas sempadan menerusi inovasi digital dan kerjasama dengan rangkaian pembayaran antarabangsa.

Dalam satu kenyataan, HLB memaklumkan kemudahan itu melengkapi ciri berbilang mata wang sedia ada di bawah Akaun HLB Pay&Save, yang membolehkan pelanggan menetapkan kadar pertukaran yang menguntungkan sebelum perjalanan serta mengelakkan keperluan menggunakan aplikasi pihak ketiga atau menambah nilai dompet elektronik.

HLB memaklumkan kemudahan pembayaran rentas sempadannya yang lebih menyeluruh turut merangkumi pembayaran terus menggunakan kad debit dan kredit, pemautan kad yang layak kepada aplikasi serba lengkap di China serta penggunaan dompet mudah alih yang disokong seperti Apple Pay, Google Pay dan Samsung Pay.

-- BERNAMA