BERITA TERKINI   Sepasang suami isteri warga Malaysia ditahan di CIQ - BSI bersama wang tunai hampir RM3 juta yang tidak diisytiharkan - AKPS | Urusan perkhidmatan Ketua Pengarah AKPS Mohd Shuhaily masih dalam proses untuk dimuktamadkan – KDN | Pegawai kanan polis dipenjara 7 tahun 6 bulan kerana menyebabkan kematian pelajar, bayar pampasan RM50,000 kepada bapa mangsa – Mahkamah Tinggi Ipoh | Parlimen: Sebanyak 56,304 kandungan mudarat dan palsu diturunkan bagi tempoh Jan 2023 hingga 15 Okt tahun ini - Teo Nie Ching | 

Kerajaan Belum Tetap Tahun Sasaran Pemulihan Aset 1MDB - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kerajaan belum menetapkan tahun sasaran untuk menyelesaikan semua tuntutan dan usaha pemulihan aset berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata tahun 2039 merupakan tahun matang prinsipal sukuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berkaitan 1MDB yang dijamin kerajaan.

“Tahun 2039 merupakan tempoh matang prinsipal sukuk IMTN mengikut jadual semasa. Dalam tempoh tersebut, kerajaan meneruskan usaha untuk mendapatkan semula dana dan aset 1MDB.

Ad Banner
Ad Banner

“Tahun matang sukuk dan tempoh penyelesaian tuntutan merupakan perkara yang berbeza,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) berhubung sasaran akhir bagi menyelesaikan baki liabiliti bersih 1MDB dan tuntutan yang masih dalam proses pemulihan berserta tahun sasaran kerajaan untuk menamatkan sepenuhnya tanggungan tersebut.

Amir Hamzah berkata tempoh penyelesaian tuntutan dan usaha pemulihan aset turut bergantung pada keputusan mahkamah serta penguatkuasaan di dalam dan luar negara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Keutamaan ketika ini adalah memenuhi komitmen kewangan mengikut jadual, di samping meneruskan usaha mendapatkan semula sebanyak mungkin dana yang diseleweng.

“Setakat 31 Ogos 2026, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi memenuhi hutang dan komitmen berkaitan 1MDB, merangkumi prinsipal, faedah serta kos lain.

“Baki komitmen sukuk IMTN yang dijamin kerajaan pula berjumlah RM8.9 bilion, terdiri daripada prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion sehingga matang pada 2039,” katanya.

Beliau berkata selepas mengambil kira pemulihan dana dan aset berjumlah RM31.3 bilion, beban bersih kepada kerajaan dianggarkan sebanyak RM20.1 bilion sekiranya tiada pemulihan tambahan.

Dalam pada itu, katanya nilai yang dituntut atau diperintahkan oleh mahkamah belum dapat dianggap sebagai jumlah yang pasti akan diterima.

“Jumlahnya masih bergantung pada keputusan mahkamah, proses rayuan, aset yang dapat dikesan dan keupayaan untuk menguatkuasakan perintah, khususnya di luar negara,” katanya.

-- BERNAMA