Indeks Utama Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari ini, didorong oleh jualan berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, terutamanya dalam sektor perkhidmatan kewangan.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 1.44 mata atau 0.09 peratus kepada 1,610.41 daripada 1,611.85 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.64 mata kepada 1,614.49 dan diniagakan antara 1,609.44 dan 1,615.87 pada sesi dagangan pagi.
Bagaimanapun, dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 575 berbanding 353 manakala 458 kaunter tidak berubah, 1,481 tidak diniagakan dan 104 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.96 bilion unit bernilai RM1.09 bilion.
Hong Leong Investment Bank Bhd menjangka FBM KLCI akan terus berada dalam fasa konsolidasi dengan kecenderungan mengelak risiko.
“Pada peringkat luaran, Wall Street dijangka terus tidak menentu berikutan minggu yang padat dengan pengumuman pendapatan syarikat permodalan besar Amerika Syarikat (AS), keputusan Rizab Persekutuan (Fed), pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November serta ketegangan berterusan antara AS dan Iran.
“Pada peringkat domestik, ketidaktentuan pendapatan suku ketiga 2026 dan pengimbangan semula portfolio oleh institusi menjelang peluasan FBM KLCI secara berperingkat daripada 30 kepada 50 konstituen turut menambah tekanan,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare, masing-masing menurun dua sen kepada RM9.97 dan RM7.82, Public Bank merosot empat sen kepada RM4.71, Tenaga Nasional berkurangan 10 sen kepada RM13.20 dan CIMB menyusut satu sen kepada RM7.10.
Dalam dagangan aktif, Zetrix AI dan Top Glove, masing-masing meningkat setengah sen kepada sembilan sen dan 97 sen, VS Industry naik satu sen kepada 35.5 sen dan Landmarks menambah 1.5 sen kepada 5.5 sen.
Nestle mendahului kaunter paling untung, menambah RM2.76 kepada RM97.04, Malaysian Pacific Industries meningkat RM1.00 kepada RM42.30, Fraser & Neave naik 32 sen kepada RM20.00, ViTrox menokok 26 sen kepada RM11.08 dan MI Technovation menambah 25 sen kepada RM7.00.
Kaunter paling rugi ialah United Plantations menurun 56 sen kepada RM29.14, Hong Leong Industries berkurangan 34 sen kepada RM16.16, Batu Kawan merosot 20 sen kepada RM19.10 serta Westports dan Telekom Malaysia, masing-masing menyusut 19 sen kepada RM6.89 dan RM7.86.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 8.70 mata kepada 12,047.99, Indeks FBM Top 100 meningkat 3.85 mata kepada 11,838.38, Indeks FBM Mid 70 menambah 65.97 mata kepada 17,436.09, Indeks FBM Emas Shariah menokok 8.59 mata kepada 12,058.32 dan Indeks FBM ACE naik 64.12 mata kepada 5,482.75.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 1.27 mata kepada 178.18, Indeks Tenaga naik 0.45 mata kepada 846.19 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 34.83 mata kepada 18,566.20 dan Indeks Perladangan merosot 18.16 mata kepada 8,636.10.
-- BERNAMA