Kilang Safran Di Negeri Sembilan Hasilkan 27 Peratus Cakera Brek Karbon Global
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kilang pembuatan cakera brek karbon Safran Group di Sendayan, Negeri Sembilan menyumbang 27 peratus daripada jumlah pengeluaran globalnya sekali gus mengukuhkan kepentingan operasi Malaysia dalam rangkaian pembuatan global Safran.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kilang itu menghasilkan cakera brek karbon untuk pesawat yang dibina oleh Airbus, Boeing dan ATR.
“Cakera brek yang dihasilkan di Sendayan pasti akan digunakan pada pesawat yang terbang ke mana-mana sahaja di dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pembesaran kilang pembuatan cakera brek karbon Safran Landing Systems Malaysia Sdn Bhd di Sendayan serta pembukaan kemudahan baharu penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) roda dan brek hari ini.
Menurut beliau kemudahan MRO baharu itu melengkapi operasi pembuatan Safran di Negeri Sembilan sekali gus membolehkan syarikat berkenaan menyediakan perkhidmatan pembuatan dan pasca jualan dalam ekosistem yang sama, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau memberitahu komponen aeroangkasa memerlukan MRO beberapa kali sepanjang jangka hayat perkhidmatan sesebuah pesawat sekali gus membolehkan Malaysia terus memperoleh nilai ekonomi selama beberapa dekad selepas jualan awal.
Sikh Shamsul menegaskan Malaysia kini merupakan pemain MRO ketiga terbesar di rantau Asia Pasifik dan menyasarkan pendapatan aeroangkasa sebanyak RM55 bilion menjelang 2030 selain meningkatkan bahagiannya dalam pasaran MRO global daripada empat peratus kepada lima peratus di bawah Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
Beliau memaklumkan kemudahan di Sendayan itu menggaji lebih 157 pekerja berkemahiran tinggi termasuk pakar bahan, jurutera proses dan relau serta profesional berkualiti yang bekerja mengikut piawaian kelayakan udara Eropah dan Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia meluluskan pelaburan bernilai RM218.5 bilion pada separuh pertama 2026 termasuk RM51.3 bilion dalam sektor pembuatan dan RM4.9 bilion dalam industri peralatan pengangkutan yang merangkumi aeroangkasa.
“Negeri Sembilan mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarahnya iaitu RM17.16 bilion pada 2025 diikuti RM3.75 bilion pada separuh pertama 2026,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan model pembuatan kitaran Safran yang menggunakan pendekatan pembuatan semula dua untuk satu bagi menghasilkan cakera brek karbon baharu daripada cakera terpakai manakala bahan yang tidak dapat dibuat semula dikitar semula untuk dijadikan perkakasan.
-- BERNAMA