BERITA TERKINI   Siaran langsung serangan terhadap guru di Sarawak: MCMC teliti tindakan ke atas Facebook jika berlaku pelanggaran garis panduan, undang-undang - Fahmi | MCMC minta 47,412 kandungan bersifat buli siber diturunkan sejak Jan hingga semalam, 81 peratus daripada platform TikTok - Fahmi | PRN Sarawak: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN - Pengerusi GPS | Sepasang suami isteri warga Malaysia ditahan di CIQ - BSI bersama wang tunai hampir RM3 juta yang tidak diisytiharkan - AKPS | Urusan perkhidmatan Ketua Pengarah AKPS Mohd Shuhaily masih dalam proses untuk dimuktamadkan – KDN | 

IHPR Malaysia Meningkat 12 Peratus Pada September 2026 – DOSM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meningkat 12.0 peratus pada September 2026, berbanding 10.7 peratus pada Ogos 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM memaklumkan pada asas tahun ke tahun, antara sektor utama dalam IHPR, Sektor Perlombongan mencatatkan peningkatan ketara 54.1 peratus pada September 2026, berbanding peningkatan 41.2 peratus pada bulan sebelumnya.

“Peningkatan ini didorong terutamanya oleh pengekstrakan petroleum mentah yang meningkat 74.2 peratus,” menurut laporan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Pengeluaran Tempatan bagi September 2026.

Ad Banner
Ad Banner

IHPR mengukur purata perubahan harga barangan yang dikenakan oleh pengeluar tempatan sebelum barangan berkenaan sampai kepada pengguna.

DOSM memaklumkan sektor pembuatan meningkat 9.4 peratus berbanding 8.8 peratus pada Ogos 2026, disumbangkan terutamanya oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (35.0 peratus) serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (12.9 peratus).

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan pula mencatatkan peningkatan sederhana sebanyak 2.9 peratus berbanding 4.6 peratus pada bulan sebelumnya, dengan pengeluaran ternakan meningkat 11.9 peratus.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sektor utiliti turut mencatatkan peningkatan, dengan bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing meningkat 5.5 peratus dan 3.2 peratus,” menurut DOSM.

Pada asas bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.6 peratus pada September 2026 berbanding 1.0 peratus pada Ogos 2026.

Sektor perlombongan mencatatkan peningkatan 10.3 peratus berbanding 6.7 peratus pada bulan sebelumnya, didorong oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah yang meningkat 13.6 peratus.

Bagi suku ketiga 2026, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 10.8 peratus berbanding kenaikan 7.4 peratus pada suku sebelumnya. Peningkatan itu disumbangkan oleh semua sektor, khususnya perlombongan (41.9 peratus) dan pembuatan (8.8 peratus).

Pada asas suku ke suku, IHPR meningkat 2.8 peratus, lebih perlahan berbanding kenaikan 6.8 peratus pada suku kedua 2026, disokong terutamanya oleh sektor pembuatan yang meningkat 3.6 peratus.

-- BERNAMA