BERITA TERKINI   BNM kenakan penalti kewangan pentadbiran berjumlah RM113,100 terhadap TML Remittance Center Sdn Bhd kerana kegagalan mematuhi keperluan usaha wajar pelanggan | BNM kenakan penalti kewangan pentadbiran berjumlah RM276,000 setiap satu ke atas AmBank dan AmBank Islamic kerana kegagalan mengemukakan laporan ambang tunai dengan segera. | Siaran langsung serangan terhadap guru di Sarawak: MCMC teliti tindakan ke atas Facebook jika berlaku pelanggaran garis panduan, undang-undang - Fahmi | MCMC minta 47,412 kandungan bersifat buli siber diturunkan sejak Jan hingga semalam, 81 peratus daripada platform TikTok - Fahmi | PRN Sarawak: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN - Pengerusi GPS | 

Belum Ada Bukti Syarikat Perladangan Malaysia Jadi Punca Kebakaran Hutan Di Indonesia - Arthur

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Belum ada bukti kukuh yang mengesahkan penglibatan syarikat perladangan Malaysia sebagai pihak yang menjadi punca kebakaran hutan di Indonesia, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang meneliti dakwaan penglibatan syarikat Malaysia dalam aktiviti pembakaran hutan di negara itu.

“Berdasarkan penelitian setakat ini, belum terdapat bukti kukuh yang mengesahkan penglibatan syarikat perladangan berkaitan Malaysia sebagai pihak yang menyebabkan kebakaran berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner

“Pendirian kerajaan adalah jelas bahawa mana-mana pihak yang terbukti bertanggungjawab menyebabkan pencemaran jerebu perlu dikenakan tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang bertanya tentang cadangan penggubalan undang-undang khusus bagi menangani pencemaran jerebu merentas sempadan dan tindakan terhadap syarikat yang bertanggungjawab.

Arthur berkata cadangan sekatan pembiayaan terhadap syarikat yang terbukti bertanggungjawab menyebabkan pencemaran jerebu memerlukan penelitian lanjut, khususnya dari aspek asas perundangan, standard pembuktian, bidang kuasa serta implikasi terhadap sektor kewangan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kementerian juga telah beberapa kali meneliti kewajaran penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan seperti yang dilaksanakan oleh negara jiran.

“Bagaimanapun, pelaksanaannya mempunyai cabaran, khususnya melibatkan bidang kuasa, pengumpulan dan pembuktian bukti di luar negara, penentuan liabiliti syarikat serta implikasi terhadap kedaulatan negara lain,” katanya.

Berhubung cadangan tuntutan pampasan dan ganti rugi, Arthur berkata Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) pada masa ini tidak memperuntukkan mekanisme khusus bagi tuntutan pampasan antara negara.

“Namun, kerajaan terbuka untuk meneliti kesesuaian mekanisme perundangan lain, tertakluk kepada asas undang-undang di peringkat antarabangsa.

“Kajian komprehensif terhadap kerugian ekonomi akibat jerebu, termasuk kesannya terhadap kesihatan awam, produktiviti dan aktiviti ekonomi, penting sebagai asas saintifik dan ekonomi bagi pertimbangan dasar serta tindakan susulan,” katanya.

-- BERNAMA