BERITA TERKINI   Siaran langsung serangan terhadap guru di Sarawak: MCMC teliti tindakan ke atas Facebook jika berlaku pelanggaran garis panduan, undang-undang - Fahmi | MCMC minta 47,412 kandungan bersifat buli siber diturunkan sejak Jan hingga semalam, 81 peratus daripada platform TikTok - Fahmi | PRN Sarawak: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN - Pengerusi GPS | Sepasang suami isteri warga Malaysia ditahan di CIQ - BSI bersama wang tunai hampir RM3 juta yang tidak diisytiharkan - AKPS | Urusan perkhidmatan Ketua Pengarah AKPS Mohd Shuhaily masih dalam proses untuk dimuktamadkan – KDN | 

Malaysia Gesa Kerjasama Global Lebih Kukuh Pastikan Keterjaminan Bekalan Gas

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Malaysia menggesa kerjasama antarabangsa diperkukuh bagi memastikan kestabilan pasaran gas global dan jaminan bekalan tenaga yang menjadi asas penting kepada daya saing industri, keyakinan pelabur serta pertumbuhan ekonomi mampan. 

Menteri Ekonomi  Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan intervensi Malaysia itu pada Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan Forum Negara-Negara Pengeksport Gas (GECF) Ke-8 pada 27 Oktober 2026 di Moscow.

Kementerian Ekonomi menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa gas asli bukan sekadar bahan api peralihan, malah merupakan tonggak strategik keselamatan tenaga, daya saing industri dan pembangunan mampan.

Ad Banner
Ad Banner

Menurut kementerian itu, seiring dengan peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu, gas asli terus memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan dan fleksibiliti sistem bekalan elektrik serta menyokong aktiviti perindustrian, khususnya dalam menghadapi peningkatan permintaan tenaga di rantau Asia dan ASEAN. 

“Dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik, gangguan bekalan dan turun naik harga tenaga, Malaysia menekankan kepentingan ketelusan pasaran, kepastian dasar serta pelaburan berterusan sepanjang rantaian nilai gas asli. 

“Kerjasama lebih erat antara negara pengeluar dan pengguna perlu diperkukuh bagi meningkatkan daya tahan bekalan tenaga serta keyakinan terhadap pelaburan jangka panjang,” maklum Kementerian Ekonomi. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut kementerian itu, Malaysia turut menggalakkan kerjasama lebih erat antara negara anggota dan pemerhati GECF dalam perkongsian maklumat dan analisis pasaran, perdagangan gas asli cecair (LNG) pembangunan infrastruktur serta pertukaran teknologi.

Ini termasuk memperkukuh kerjasama tenaga jangka panjang dengan Rusia berasaskan jaminan bekalan, daya maju komersial dan manfaat bersama.

“Malaysia kekal komited terhadap peralihan tenaga yang pragmatik dan seimbang dengan mengutamakan keselamatan bekalan, kemampuan harga dan kelestarian alam sekitar bagi menarik pelaburan bernilai tinggi, meningkatkan produktiviti industri dan menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” maklum kementerian itu. 

-- BERNAMA