Pulau Pinang, Johor, Selangor Sumbang 80.5 Peratus Jumlah Dagangan Malaysia Pada September – DOSM
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang, Johor dan Selangor menyumbang 80.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada September 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri bagi September 2026 yang dikeluarkan hari ini, DOSM memaklumkan jumlah perdagangan Malaysia bernilai RM396.5 bilion, merangkumi eksport sebanyak RM215.1 bilion dan import RM181.4 bilion.
“Pulau Pinang kekal sebagai negeri pengeksport utama, menyumbang 52.6 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, diikuti Johor (17.5 peratus), Selangor (11.7 peratus), Sarawak (5.3 peratus) dan Kuala Lumpur (3.3 peratus).
“Pulau Pinang juga mencatatkan bahagian terbesar import Malaysia, iaitu 35.3 peratus, diikuti Johor (24.2 peratus), Selangor (19.5 peratus), Kuala Lumpur (6.8 peratus) dan Kedah (4.3 peratus),” menurut DOSM.
DOSM memaklumkan eksport meningkat RM75.9 bilion atau 54.5 peratus kepada RM215.1 bilion pada September 2026 berbanding bulan yang sama tahun lepas.
Peningkatan itu didorong oleh eksport yang lebih tinggi dari Pulau Pinang, iaitu sebanyak RM55.5 bilion, diikuti Johor (RM10.2 bilion), Selangor (RM4.1 bilion), Sarawak (RM3.5 bilion), Kuala Lumpur (RM2.1 bilion) dan Negeri Sembilan (RM707.7 juta).
Eksport turut meningkat di Perak sebanyak RM641.8 juta, Pahang (RM297.7 juta), Labuan (RM133.1 juta), Kedah (RM73.5 juta) dan Kelantan (RM61.2 juta).
Bagaimanapun, eksport merosot di Sabah sebanyak RM459.1 juta, Terengganu (RM383.3 juta), Melaka (RM91.7 juta) dan Perlis (RM20.1 juta).
Sementara itu, import meningkat RM62.6 bilion atau 52.7 peratus pada September 2026 berbanding bulan yang sama tahun lepas.
Peningkatan itu diterajui Pulau Pinang, dengan import meningkat RM37.2 bilion, diikuti Johor (RM15.2 bilion), Selangor (RM5.6 bilion), Kedah (RM2.1 bilion), Perak (RM870.4 juta), Pahang (RM574.1 juta), Sarawak (RM521.4 juta) dan Negeri Sembilan (RM374.9 juta).
Import turut meningkat di Melaka sebanyak RM134.0 juta, Terengganu (RM101.4 juta), Kuala Lumpur (RM85.8 juta), Sabah (RM39.1 juta), Kelantan (RM16.3 juta) dan Labuan (RM14.3 juta).
-- BERNAMA