Keuntungan Bersih Suku Ketiga Bursa Malaysia Naik 10 Peratus Kepada RM70.20 Juta
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi yang meningkat 10 peratus kepada RM70.20 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2026 daripada RM63.84 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu dipacu terutamanya oleh sumbangan pasaran sekuriti, derivatif dan Islam serta perniagaan berkaitan data, tidak termasuk syarikat induk bursa.
Dalam kenyataan hari ini, pengendali bursa itu menyatakan perolehan hasil turut melonjak 20.3 peratus kepada RM216.41 juta daripada RM179.90 juta bagi suku sama tahun lepas.
Pada masa sama, pasaran sekuriti mencatatkan keuntungan segmen sebanyak RM104.6 juta iaitu peningkatan sebanyak 11.5 peratus daripada RM93.8 juta pada suku ketiga 2025 susulan hasil operasi yang lebih tinggi.
Hasil dagangan menokok sebanyak 15.3 peratus kepada RM90.9 juta daripada RM78.9 juta, disokong oleh peningkatan 13.5 peratus dalam nilai dagangan harian purata (ADV) bagi dagangan pasaran serta transaksi perniagaan langsung kepada RM3.2 bilion daripada RM2.8 bilion sebelumnya.
Menurut Bursa Malaysia, pasaran derivatif meraih keuntungan segmen sebanyak RM16.5 juta -- naik 34.9 peratus daripada RM12.2 juta setahun sebelumnya, juga dipacu oleh hasil operasi yang lebih tinggi.
Perolehan hasil dagangan melonjak 32.6 peratus kepada RM35.8 juta daripada RM27.0 juta, didorong terutamanya peningkatan jumlah kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) dan dagangan niaga hadapan Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FKLI).
Selain itu, pasaran Islam kembali meraih keuntungan apabila keuntungan segmen mencatat RM2.8 juta berbanding kerugian RM0.5 juta pada tahun sebelumnya, terutama berikutan perbelanjaan operasi yang lebih rendah.
Perniagaan data mencatatkan keuntungan segmen sebanyak RM15.1 juta atau peningkatan 1.2 peratus daripada RM15.0 juta bagi suku sama 2025.
Sebaliknya, kerugian segmen syarikat induk bursa meningkat kepada RM3.3 juta daripada RM1.7 juta yang disebabkan terutamanya oleh kos kakitangan dan yuran profesional yang tinggi.
Segmen lain yang merangkumi bursa produk dengan pelbagai persekitaran, platform pengumpulan dana hutang untuk syarikat kecil dan sederhana, platform pelaporan dagangan bon serta bursa pasaran luar pesisir, mencatatkan kerugian lebih kecil sebanyak RM1.8 juta bagi suku ketiga 2026 berbanding RM2.0 juta pada tahun sebelumnya.
Pengendali pasaran saham itu memaklumkan, bagi tempoh sembilan bulan berakhir pada 30 September 2026, keuntungan bersih Bursa Malaysia meningkat kepada RM214.81 juta daripada RM189.32 juta pada tahun sebelumnya manakala hasil meningkat kepada RM641.46 juta daripada RM536.86 juta.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fadl Mohamed berkata bursa berjaya mengekalkan momentum yang merentasi pasaran dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, disokong oleh aktiviti dagangan lebih kukuh, pengumpulan dana secara berterusan serta penyertaan pelabur yang memberangsangkan.
Beliau berkata sejumlah 47 tawaran awam permulaan (IPO) dilaksanakan dalam tempoh itu selain peningkatan 27.6 peratus dalam ADV pasaran sekuriti dan pertumbuhan 19.3 peratus dalam purata harian kontrak derivatif yang disifatkan sebagai paparan penyertaan pasaran yang sihat.
Menyentuh prospek masa depan, beliau berkata pihak Lembaga Pengarah akan menumpukan usaha meningkatkan daya tarikan dan penyertaan pasaran selain pelaburan dalam daya tahan serta kebolehpercayaan infrastruktur pasaran bursa.
“Langkah penambahbaikan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI dan FTSE Bursa Malaysia Mid 70, inisiatif MY Value Up serta usaha memperkukuh hubungan pasaran serantau dan antarabangsa, termasuk antara Malaysia dengan Hong Kong, adalah antara inisiatif strategik yang kami sedang laksanakan dalam usaha ke arah mencapai matlamat ini,” katanya.
-- BERNAMA