BERITA TERKINI   Belanjawan 2027 sentiasa angkat agenda suburkan syiar Islam, bantu pondok di Malaysia - PM Anwar | BNM kenakan penalti kewangan pentadbiran berjumlah RM113,100 terhadap TML Remittance Center Sdn Bhd kerana kegagalan mematuhi keperluan usaha wajar pelanggan | BNM kenakan penalti kewangan pentadbiran berjumlah RM276,000 setiap satu ke atas AmBank dan AmBank Islamic kerana kegagalan mengemukakan laporan ambang tunai dengan segera. | Siaran langsung serangan terhadap guru di Sarawak: MCMC teliti tindakan ke atas Facebook jika berlaku pelanggaran garis panduan, undang-undang - Fahmi | MCMC minta 47,412 kandungan bersifat buli siber diturunkan sejak Jan hingga semalam, 81 peratus daripada platform TikTok - Fahmi | 

Tenaga Nuklear Boleh Perkukuh Campuran Tenaga Karbon Rendah Malaysia

Daripada Rosemarie Khoo Mohd Sani

SINGAPURA, 28 Okt (Bernama) -- Tenaga nuklear boleh menjadi tambahan berdaya maju kepada campuran tenaga Malaysia bagi tempoh jangka panjang, melengkapi tenaga boleh baharu bagi mewujudkan sistem yang rendah karbon, selamat, terjamin dan memelihara alam sekitar. 

Ketua program bagi iklim di World Nuclear Association Dr Jonathan Cobb berkata usaha membangunkan campuran tenaga yang tepat memerlukan gabungan pelbagai sumber tenaga, dan bukannya menganggap tenaga boleh baharu, bahan api fosil, serta tenaga nuklear sebagai pilihan yang saling bersaing.

Ad Banner
Ad Banner

“Hakikat bahawa tenaga nuklear menjana elektrik sepanjang masa, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, secara selamat dan terjamin, menjadikannya pelengkap yang baik untuk tenaga boleh baharu, terutamanya  yang bersifat tidak tetap,” katanya kepada Bernama di luar acara Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026.

Beliau berkata objektifnya adalah untuk membangunkan gabungan sumber tenaga yang optimum bagi mewujudkan sistem elektrik yang berkesan dan mampu dibayar.

 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

TEKNOLOGI NUKLEAR TAWAR FLEKSIBILITI, NAMUN KOS PERLU DINILAI SECARA KESELURUHAN 

 

Cobb berkata kemajuan dalam teknologi nuklear telah memperluas pilihan yang tersedia bagi negara-negara yang mempunyai kapasiti grid elektrik yang berbeza, termasuk Malaysia.

Walaupun reaktor nuklear kebiasaannya menjana 1,000 hingga 1,500 megawatt, reaktor modular kecil mampu menjana sehingga kira-kira 300 megawatt, manakala reaktor mikro-modular pula boleh menjana serendah lima megawatt.

“Jadi, terdapat teknologi nuklear yang sesuai untuk setiap grid elektrik,” katanya.

Mengenai daya saing, Cobb berkata negara-negara harus menilai kos keseluruhan penjanaan elektrik termasuk kuasa sokongan dan penyimpanan sumber tenaga boleh baharu yang bersifat tidak tetap serta kesan daripada penggunaan bahan api fosil ke atas alam sekitar termasuk pelepasan karbon dioksida dan bahan pencemar udara yang lain.

Beliau berkata tujuannya adalah untuk menentukan kombinasi sumber tenaga yang optimum bagi menghasilkan sistem paling berkesan dengan kos paling rendah.

 

PEMBIAYAAN, RANTAIAN BEKALAN TEMPATAN PENTING KEPADA MANFAAT EKONOMI

 

Cobb berkata Malaysia boleh menimbang beberapa perjanjian pembiayaan bagi program nuklear, termasuk perjanjian pembekal antara kerajaan dengan kerajaan, perjanjian bina-milik-operasi, pembiayaan langsung oleh negara, skim asas aset terkawal (RAB) serta kontrak untuk perbezaan (CfD).

 

“Perkara yang benar-benar penting adalah memastikan terdapat peruntukan risiko kewangan yang sewajarnya dalam mana-mana projek,” katanya sambil menambah peruntukan risiko yang tepat boleh membantu mengurangkan kos pembiayaan secara keseluruhan.

Selain penjanaan elektrik, projek nuklear berupaya mewujudkan peluang pekerjaan semasa fasa pembinaan dan operasi, termasuk pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi sepanjang tempoh operasi reaktor yang mungkin berlanjutan untuk jangka masa yang panjang.

Cobb berkata syarikat tempatan juga boleh mendapat manfaat dengan membekalkan komponen untuk loji nuklear selagi ia memenuhi kod dan piawaian yang ditetapkan.

Libat urus dengan pembekal tempatan sebelum pembinaan akan membantu mereka membangunkan keupayaan yang diperlukan.

“Apabila anda membina loji nuklear, biasanya ia merupakan projek infrastruktur berskala besar yang melibatkan banyak pihak dan ini bermakna akan berlaku kemasukan modal yang besar ke dalam komuniti setempat,” katanya sambil menambah perbelanjaan oleh pekerja loji juga boleh menyokong perniagaan tempatan.

 

 

DASAR, KESEDIAAN INSTITUSI KEPERLUAN PENTING SEBELUM TIMBANG TENAGA NUKLEAR

 

Sementara itu, Cobb berkata pembangunan dasar, kesediaan institusi dan infrastruktur, serta persediaan projek dan program merupakan keperluan kritikal bagi negara yang menimbang penggunaan tenaga nuklear.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kelebihan awal menerusi reaktor penyelidikannya yang telah wujud sejak berdekad-dekad lepas, yang membantu menyediakan keupayaan kawal selia serta kepakaran saintifik dalam pengendalian reaktor.

Bagaimanapun, sesuatu program yang berjaya memerlukan komitmen teguh kerajaan yang bersifat jangka panjang, dasar nuklear serta rangka kerja perundangan yang sesuai, dan badan pengawal selia yang berkemampuan untuk menilai reka bentuk reaktor serta menyelia kemudahan nuklear komersial.

Beliau turut menekankan kepentingan membangunkan keupayaan pembuatan dan rantaian bekalan dalam negara.

Bagi negara yang merancang untuk membina beberapa reaktor, Cobb berkata pembangunan nuklear harus dianggap sebagai satu program berterusan dan bukannya projek sekali sahaja, untuk membolehkan kemahiran dan pengalaman dipindahkan antara projek, di samping membantu mengurangkan kos.

 

PENGEMBANGAN NUKLEAR DIPACU KETERJAMINAN, KESELAMATAN TENAGA 

 

Cobb berkata industri nuklear global sedang mengalami pecutan dan bukan sekadar bangkit semula,  didorong oleh kebimbangan terhadap alam sekitar serta peningkatan risiko keterjaminan tenaga yang berpunca daripada gangguan terhadap bekalan bahan api fosil.

Beliau berkata 39 negara telah menandatangani komitmen untuk meningkatkan kapasiti tenaga nuklear kepada tiga kali ganda antara 2020 dan 2050.

Antara negara tersebut ialah China, Belanda, Brazil, United Kingdom dan Itali.

Mengenai keselamatan tenaga nuklear, Cobb berkata industri tersebut telahpun memperkukuh tumpuannya susulan kemalangan nuklear di Chernobyl dan Fukushima, dengan pengajaran yang diperoleh membantu meningkatkan daya tahan loji.

“Tenaga nuklear merupakan bentuk penjanaan yang sangat selamat. Keselamatan menjadi teras kepada budaya nuklear.

"Terdapat penekanan besar terhadap aspek keselamatan. Kita harus mengutamakan keselamatan dalam segala perkara yang kita lakukan, bukan sekadar dalam bidang tenaga nuklear," katanya.

Beliau berkata orang ramai juga perlu menimbang manfaat yang boleh ditawarkan tenaga nuklear, termasuk bekalan elektrik yang mampu dibayar dan terjamin, serta pengurangan pencemaran udara berbanding penjanaan tenaga menggunakan bahan api fosil.

“Pada pandangan saya, apa yang boleh ditawarkan oleh tenaga nuklear adalah sesuatu yang sebenarnya diperlukan oleh masyarakat, iaitu mendapatkan bekalan tenaga bersih,” katanya yang merujuk kepada potensi tenaga itu untuk menyediakan tenaga elektrik yang mampu dibayar dan terjamin, di samping mengelakkan pencemaran udara yang sering dikaitkan dengan penjanaan tenaga menggunakan bahan api fosil.

- BERNAMA