BERITA TERKINI   Anak syarikat Titijaya Land Bhd, Aman Duta Sdn Bhd menjual Penang Logistics Hub 5 di Pulau Pinang kepada Pelaburan Hartanah Bhd dengan bayaran tunai RM300 juta | Belanjawan 2027 sentiasa angkat agenda suburkan syiar Islam, bantu pondok di Malaysia - PM Anwar | BNM kenakan penalti kewangan pentadbiran berjumlah RM113,100 terhadap TML Remittance Center Sdn Bhd kerana kegagalan mematuhi keperluan usaha wajar pelanggan | BNM kenakan penalti kewangan pentadbiran berjumlah RM276,000 setiap satu ke atas AmBank dan AmBank Islamic kerana kegagalan mengemukakan laporan ambang tunai dengan segera. | Siaran langsung serangan terhadap guru di Sarawak: MCMC teliti tindakan ke atas Facebook jika berlaku pelanggaran garis panduan, undang-undang - Fahmi | 

Kerajaan Belum Beri Keputusan 24 Permohonan Baharu Pusat Data - Johari Ghani

KUALA LUMPUR, Okt 28 (Bernama) -- Kerajaan belum memberikan keputusan terhadap 24 permohonan baharu pusat data kerana mahu menilai kecukupan bekalan tenaga bagi menampung projek yang telah diluluskan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata penilaian itu mengambil kira keperluan 117 pusat data yang sudah mendapat kelulusan, selain kemampuan menyediakan bekalan tambahan melalui tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga dan teknologi baharu.

“Sebanyak 24 permohonan baharu pusat data telah diterima, namun kita belum memberikan sebarang jawapan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang bertanyakan sama ada wujud konflik kepentingan apabila sebuah syarikat pembekal air di Johor turut mempunyai kepentingan besar dalam pelaburan pusat data di negeri itu.

Johari berkata kerajaan akan mendapatkan pandangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengenai kecukupan bekalan elektrik dan margin simpanan tenaga sebelum mempertimbangkan kelulusan pusat data tambahan.

“Langkah itu penting bagi memastikan keperluan tenaga industri lain tidak terjejas oleh kemasukan pelaburan pusat data.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sekiranya bekalan sedia ada tidak mencukupi, kerajaan akan meneliti pilihan penjanaan di luar grid, termasuk penggunaan tenaga solar bersama sistem penyimpanan bateri,” katanya.

Beliau berkata kecukupan air perlu disahkan kerajaan negeri sebelum sesuatu projek dapat dipertimbangkan.

“Kalau negeri itu tak cukup air, walaupun dia ada tanah, kita tak boleh bagi kelulusan tersebut.

“Kerajaan perlu memastikan bekalan utiliti dapat disediakan sebelum pelabur membawa masuk modal yang besar untuk membangunkan pusat data,” katanya.

-- BERNAMA