BERITA TERKINI   Anak syarikat Titijaya Land Bhd, Aman Duta Sdn Bhd menjual Penang Logistics Hub 5 di Pulau Pinang kepada Pelaburan Hartanah Bhd dengan bayaran tunai RM300 juta | Belanjawan 2027 sentiasa angkat agenda suburkan syiar Islam, bantu pondok di Malaysia - PM Anwar | BNM kenakan penalti kewangan pentadbiran berjumlah RM113,100 terhadap TML Remittance Center Sdn Bhd kerana kegagalan mematuhi keperluan usaha wajar pelanggan | BNM kenakan penalti kewangan pentadbiran berjumlah RM276,000 setiap satu ke atas AmBank dan AmBank Islamic kerana kegagalan mengemukakan laporan ambang tunai dengan segera. | Siaran langsung serangan terhadap guru di Sarawak: MCMC teliti tindakan ke atas Facebook jika berlaku pelanggaran garis panduan, undang-undang - Fahmi | 

Berjaya Construction Laksana Projek Pembangunan RM1.2 Bilion Pelabuhan Sanglang

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Berjaya Construction Bhd akan melaksanakan kerja-kerja reka bentuk dan binaan membabitkan projek pembangunan Pelabuhan Sanglang di Perlis dengan anggaran kos mencecah RM1.2 bilion termasuk kos pembinaan awal sebanyak RM675 juta.

Kumpulan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata skop kerja akan merangkumi penyampaian perolehan, pembangunan reka bentuk, kejuruteraan dan pembinaan.

Pelabuhan Sanglang merupakan inisiatif infrastruktur maritim strategik yang bertujuan untuk meningkatkan kesalinghubungan jalan laut negeri.

Ad Banner
Ad Banner

Projek itu akan melengkapkan infrastruktur logistik yang baru siap terdiri daripada Zon Komersial Bebas Tuanku Syed Sirajuddin-Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping, katanya.

“Melalui kerjasama dengan Mutiara Perlis Sdn Bhd (Mutiara Perlis), pemilik merangkap pemaju PIP dan Pelabuhan Sanglang, Berjaya Construction akan memanfaatkan kepakaran teknikal serta keupayaan penyampaian projeknya bagi menyokong pembangunan infrastruktur Pelabuhan Sanglang,” katanya.

Berjaya Construction berkata cadangan pembangunan itu akan mengandungi dua terminal berbilang pengguna, terminal roll-on/roll-off (RORO) dan terminal kargo am di dermaga sepanjang empat kilometer dengan kedalaman air sehingga 11.9 meter.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pelan induk itu juga menyediakan lima aktiviti maritim utama seperti operasi RORO, kemudahan perikanan, pengendalian kargo am, hab tenaga dan kemudahan berbilang pengguna.

“Kemudahan yang dicadangkan itu dijangka memenuhi keperluan perikanan dan pendaratan tuna antarabangsa, komoditi, kargo berkaitan petroleum termasuk aktiviti gas petroleum cecair.

"Terminal RORO itu juga bertujuan meningkatkan hubungan maritim antara Perlis dan Langkawi dengan memudahkan pergerakan kenderaan serta barangan, dengan operasi sepanjang masa, sekali gus merangsang aktiviti berkaitan pelancongan di kawasan sekitar," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Property Bhd, Syed Ali Shahul Hameed berkata projek pembangunan Pelabuhan Sanglang mewakili peluang besar untuk mengukuhkan infrastruktur maritim Perlis, meningkatkan kesalinghubungan serantau selain menyokong pertumbuhan perdagangan dan industri.

 

“Berjaya Construction komited untuk memanfaatkan kepakaran kejuruteraan dan keupayaan penyampaian projeknya bagi menyokong pembangunan infrastruktur berkualiti yang memberikan nilai jangka panjang.

 

“Melalui kerjasama rapat dengan pihak berkepentingan yang berkaitan, kami berharap dapat menyumbang kepada projek yang boleh mengukuhkan kedudukan Perlis dalam perdagangan maritim, logistik dan aktiviti berkaitan tenaga sambil mewujudkan peluang baharu dalam perniagaan serta komuniti,” katanya.

-- BERNAMA