BERITA TERKINI   Nahas tren: Kedutaan Malaysia di Madrid belum sahkan rakyat Malaysia terlibat - Wisma Putra | Laporan siasatan Jawatankuasa Khas Siasatan Berkaitan Isu Jenayah Kewangan akan dibentang kepada Jemaah Menteri sebelum dimaklumkan kepada orang awam - AGC | Laporan siasatan Jawatankuasa Khas Siasatan Berkaitan Isu Jenayah Kewangan akan dibentang kepada Jemaah Menteri sebelum dimaklumkam kepada orang awam - AGC | Anak syarikat Titijaya Land Bhd, Aman Duta Sdn Bhd menjual Penang Logistics Hub 5 di Pulau Pinang kepada Pelaburan Hartanah Bhd dengan bayaran tunai RM300 juta | Belanjawan 2027 sentiasa angkat agenda suburkan syiar Islam, bantu pondok di Malaysia - PM Anwar | 

GMV Ekonomi Digital Malaysia Diunjur US$48 Bilion Pada 2026, Setanding Vietnam -- Laporan

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Ekonomi digital Malaysia diunjur mencapai nilai barangan kasar (GMV) sebanyak US$48 bilion (US$1 = RM4.08) pada 2026, menurut laporan tahunan e-Conomy SEA (Asia Tenggara) bagi edisi ke-11 2026.

Laporan Building the Intelligent Economy oleh Google, Temasek, and Bain & Company itu menunjukkan Malaysia yang mencatat pertumbuhan 20 peratus tahun ke tahun, setanding Vietnam sebagai ekonomi digital yang berkembang paling pesat di Asia Tenggara.

“Momentum ini didorong oleh pertumbuhan dua angka bagi setiap sektor dengan e-dagang, pelancongan dalam talian, media dalam talian serta perkhidmatan mobiliti dan makanan sebagai pemacu utama pertumbuhan itu,” menurut pihak terbabit dalam satu kenyataan bersama.

Ad Banner
Ad Banner

 Pengarah Urusan Google Malaysia dan Singapura Ben King berkata pertumbuhan sebanyak 20 peratus itu menjadikan Malaysia setanding Vietnam sebagai peneraju pertumbuhan serantau, sekali gus mencerminkan daya tahan asas ekosistem digital negara yang kukuh.

“Apa yang membezakan pasaran ini dari segi komersial adalah kematangan penggunaan teknologi dalam operasi: hampir separuh daripada kesemua penggunaan kecerdasan buatan (AI) diterajui oleh perusahaan manakala kedalamannya bagi setiap sesi pula melangkaui penanda aras serantau sebanyak 22 peratus.

“Syarikat yang maju dalam dekad akan datang adalah yang berjaya melakukan penyepaduan automasi pintar secara langsung dalam perjalanan pelanggan serta operasi teras mereka,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Rakan Bain & Company partner Dhruva Murugasu berkata Malaysia tersenarai dalam kelompok pasaran AI paling maju di Asia Tenggara dan di tempat kedua di rantau ini dari segi penerimagunaan dan kedalaman penggunaan.

Perkembangan itu, katanya, mencerminkan perubahan strategik dasar di bawah Pelan Tindakan Digital dan agenda AI Nation 2030.

“Ketika penerapan dan penerimagunaan AI menjadi semakin mendalam dan meluas di serata sektor, pihak yang berjaya adalah yang bertindak merekabentuk semula aliran kerja dan organisasi berasaskannya dan bukan semata-mata paling pantas menggunakannya.

“Langkah memastikan aspek ini secara tepat amat penting bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju hab AI bagi rantau ini,” katanya.

Antara dapatan utama membabitkan Malaysia dalam laporan itu adalah pertumbuhan dua angka yang kekal kukuh merentasi sektor digital; pasaran AI yang maju yang berdasarkan kedalaman perbualan yang tinggi; pembangunan infrastruktur dan pelaburan AI bagi menyokong fasa pertumbuhan digital Malaysia seterusnya dan perlindungan statutori perintis bagi tenaga kerja ekonomi gig.

Laporan itu menyebut sektor e-dagang kekal menjadi penyumbang terbesar ekonomi digital negara menerusi pertumbuhan 22 peratus tahun ke tahun kepada GMV sebanyak US$25 bilion.

“Kira-kira 17 juta rakyat Malaysia kini menggunakan AI generatif atau mewakili 68 peratus daripada penduduk yang bekerja. Selain itu, pengguna tempatan turut mendahului rantau ini dari segi kreativiti visual dengan penggunaan penjanaan imej tertinggi di Asia Tenggara apabila satu bagi setiap lima pengguna Gemini meminta penjanaan imej.

“Penggunaan ini menekankan kepesatan peralihan daripada peringkat percubaan awal kepada penggunaan rutin dalam aliran kerja peribadi dan profesional,” menurut laporan itu.

Dapatan lain menunjukkan ekosistem pusat data Malaysia terus berkembang dalam menyokong peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan AI dan pengkomputeran awan, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai antara hab infrastruktur AI yang sedang berkembang pesat di Asia Tenggara.

“Malaysia juga menjadi negara pertama di Asia Tenggara meletakkan ekonomi gig di bawah kerangka perundangan. Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang berkuat kuasa secara rasmi pada 31 Mac 2026, memperluas perlindungan undang-undang kepada lebih 1.6 juta pekerja, termasuk penghantar barangan berasaskan platform, rakan pemandu dan pekerja bebas digital,” maklum laporan itu.

Di peringkat serantau, ekonomi digital Asia Tenggara dijangka berkembang 17 peratus tahun ke tahun kepada GMV pada US$368 bilion bagi 2026 dan di landasan untuk mencapai US$1 trilion menjelang 2035.

Penerimagunaan AI generatif juga berkembang pesat dengan kira-kira 243 juta orang di enam ekonomi utama Asia Tenggara kini menggunakan teknologi berkenaan yang menyamai 58 peratus daripada penduduk  bekerja, menurut laporan berkenaan.

-- BERNAMA